Tamatkan pengajian, tiada peluang kedua semua terlibat kes buli MRSM – Pengerusi MARA
KUALA LUMPUR – Semua pelajar yang didapati bersalah dalam kes buli di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang wajar ditamatkan pengajian dan tidak diberikan peluang kedua.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa tiada ruang untuk kompromi terhadap pelaku buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA), termasuk MRSM.

Katanya, syor menamatkan pengajian pelajar terbabit itu telah dipersetujui dalam Jawatankuasa Disiplin Maktab yang bersidang baru-baru ini.
“Maaf, saya tidak setuju untuk diberikan peluang kedua kerana sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, berulang kali saya ingatkan dan tegaskan bahawa prinsip saya #YouTouchYouGo.
“Tiada kompromi dan tiada tempat untuk pembuli dan apa jua bentuk budaya buli di mana-mana IPMA termasuk MRSM,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Dalam video yang tular semalam, dua pelajar lelaki dilihat menindih bahagian bahu dan kepala mangsa dengan cara menghempap berkali-kali manakala seorang lagi duduk pada bahagian hujung kaki mangsa.

Mangsa juga dipukul dengan menggunakan tali pinggang pada bahagian punggung.
Dr. Asyraf berkata, selepas siasatan dilakukan, pihaknya telah mengenal pasti dua pelajar yang terlibat secara langsung dalam perbuatan buli fizikal, manakala lima lagi didapati bersubahat dalam insiden tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan akan diambil tanpa mengira latar belakang keluarga pelajar terbabit.
“Tidak kira anak sesiapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh macam mana sekalipun, jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil.
“Tidak perlu cari jalan untuk bertemu saya bagi maksud merayu. Pejabat saya tidak sesekali melayani pelaku-pelaku yang melanggar prinsip kemanusiaan seperti ini,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















