Berita Semasa

Pegawai KKDW pecah amanah: Ahmad Zahid tidak kompromi ambil tindakan undang-undang

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tidak akan berkompromi berhubung apa jua kes pecah amanah mahupun rasuah dalam kalangan pegawai di kementerianya.

Menurut Ahmad Zahid, sesebuah organisasi itu akan dipandang negatif walaupun hanya seorang sahaja yang terlibat jenayah pecah amanah dan rasuah.

“Namun hanya nila setitik persepsi kepada organisasi akan menjadi negatif, peristiwa yang berlaku di sebuah agensi di bawah Kementerian Desa dan Wilayah (KKDW) di mana seorang pegawai bertaraf pertengahan telah melakukan pecah amanah.

“Saya dan Timbalan Menteri ( Datuk Rubiah Wang) tidak pernah akan berkompromi untuk mengambil tindakan disiplin dan undang-undang kepada pegawai berkenaan,” tegasnya dalam ucapan beliau pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Asprerasi 2022 KKDW di Hotel Le Meridian, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad, beliau menegaskan aspek integriti perlu diberikan fokus utama di samping meningkatkan prestasi menerusi kaedah tertentu.

“Malah jika berlaku pecah amanah maka aspek integriti itu akan hilang namun jika prestasi rendah itu boleh diperbaiki dan penambahbaikan perlu dilakukan.

“Tetapi soal integriti yang melibatkan rasuah, pecah amanah, penyelewangan atau kepentingan peribadi itu memang kita tidak boleh berkompromi.

“Dalam hal ini kita semua adalah aset kepada kerajaan, dan kita mewakili rakyat apatah lagi rakyat di luar bandar.

“Maka jika ada dalam kalangan kita jadi liabiti hanya disebabkan prestasi kita ada kaedah untuk mempertingkatkan prestasi,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan seorang Penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ditahan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang kerana dipercayai pecah amanah membabitkan jumlah RM24.8 juta.

Penahanan lelaki berusia 37 tahun itu susulan laporan diterima polis berkait salah laku oleh kakitangan Kesedar, berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023.

Show More

Related Articles

Back to top button