Insiden Putra Heights: 85 pemilik dibenarkan pulang ke rumah hari ini
SHAH ALAM – Seramai 85 pemilik rumah yang terkesan akibat kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights kelmarin, akan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bermula hari ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat setelah pemeriksaan ke atas kediaman mereka dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Tenaga Nasional Berhad serta pihak utiliti lain.
Sehubungan itu, tambahnya, sambungan asas bekalan elektrik dan air di unit-unit tersebut akan dibuat.
“Pihak Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah akan memaklumkan kepada setiap pemilik-pemilik itu dan diberikan peluang kepada mereka mulai hari ini.
“Kebanyakan yang dibenarkan pulang ada bagi kawasan Taman Putra Harmoni,” katanya dalam satu sidang akhbar di Wisma Dewan Annex, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.
Beliau turut berkata, daripada 235 rumah rosak, didapati terdapat 105 telah diisytiharkan selamat oleh JBPM, setakat hari ini.
Namun, katanya, hanya 85 rumah berkenaan yang telah mendapat bekalan air.
“Dari masa ke semasa, kita akan lihat dan bagi ruang kepada mereka untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








