BERITA SEMASADALAM NEGERI

Gas Malaysia umum gangguan bekalan ekoran kebakaran fasiliti di Putra Heights

KUALA LUMPUR – Bekalan gas di beberapa kawasan termasuk Shah Alam, Kundang, Petaling Jaya, Teluk Panglima Garang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang dan beberapa kawasan lain telah dihadkan susulan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, semalam.

Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan langkah pengehadan bekalan dilakukan ekoran penutupan sementara fasiliti gas yang terjejas.

Katanya, pemberitahuan kepada pengguna di kawasan yang terjejas telah dilakukan pihaknya dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Gas Malaysia memahami cabaran yang dihadapi oleh pelanggan dan komited untuk terus berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk pembekal gas dan pihak berkuasa bagi mengurangkan gangguan yang berlaku.

“Keselamatan dan keutuhan operasi kekal menjadi keutamaan utama Gas Malaysia dan kumpulan sudah menggerakkan sumber yang diperlukan untuk memantau keadaan dengan rapi,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, insiden tersebut dijangka tidak akan memberi kesan material terhadap pendapatan Kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 2025.

“Gas Malaysia menghargai kesabaran, pemahaman dan kerjasama daripada pelanggan serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh mencabar ini dan akan terus memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button