BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Petronas Gas Berhad sahkan kebakaran saluran paip miliknya di Putra Heights

PETALING JAYA – Petronas Gas Berhad (PGB) mengesahkan berlaku kebakaran di saluran paip utama miliknya berhampiran Putra Heights, Puchong, Selangor pada pukul 8.10 pagi tadi.

Dalam kenyataan rasmi, PGB memaklumkan bahawa saluran paip yang terjejas telah diasingkan dan semua pihak berkepentingan telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.

“PGB bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkaitan bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat, perlindungan alam sekitar serta kesinambungan bekalan gas negara sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Kami akan memberikan perkembangan terkini dan maklumat tambahan dalam masa terdekat memandangkan siasatan masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, PGB turut memaklumkan bahawa tiga stesen runcit Petronas (PS) di sekitar lokasi kejadian, iaitu PS Putra Heights, PS KM2 LDP dan PS Putra Bestari, tidak terjejas tetapi ditutup buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

“Pelanggan boleh menggunakan alternatif lain untuk keperluan mengisi minyak di PS USJ 20, USJ 6 dan USJ 9,” katanya.

Dalam kebakaran saluran gas di Putra Heights pukul 8.23 pagi tadi, pihak berkuasa mengesahkan seramai 112 mangsa terlibat dengan 63 daripadanya mengalami kecederaan.

Dalam insiden yang menyebabkan 49 buah kediaman terjejas itu, sebanyak 78 anggota bomba dan 22 aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia digerakkan ke lokasi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button