LUAR NEGARA

‘Power bank’ dipercayai punca kebakaran dalam pesawat Virgin dari Sydney ke Hobart

SYDNEY – Kebakaran yang tercetus dalam penerbangan Virgin Australia dari Sydney ke Hobart semalam dipercayai berpunca daripada sebuah power bank yang disimpan dalam bagasi kabin milik penumpang.

The Guardian yang memetik kenyataan jurucakap syarikat penerbangan itu berkata, kebakaran berlaku dalam ruang simpanan di atas kepala ketika pesawat penerbangan VA1528 itu sedang membuat pendaratan di Lapangan Terbang Hobart.

Menurut jurucakap berkenaan, api berjaya dipadamkan kru kabin sebelum pesawat mendarat, dan sepasukan bomba yang sudah sedia menunggu di landasan kemudiannya mengeluarkan beg tersebut dari ruang simpanan.

“Keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kami. Kami menghargai tindakan pantas dan profesional kru penerbangan dan kabin kami, serta sokongan pasukan bomba daripada Airservices Australia,” kata jurucakap berkenaan yang tidak dinamakan.

Tiada kru penerbangan atau penumpang yang cedera dalam insiden itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (CEO) Lapangan Terbang Hobart, Matt Cocker berkata, semua penumpang pesawat berkenaan berjaya dipindahkan dengan selamat, dengan salah seorang daripada mereka terpaksa diberi rawatan kerana tersedut asap.

Syarikat penerbangan itu kini sedang menyiasat insiden berkenaan bersama pihak berkuasa termasuk Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) dan Pihak Berkuasa Keselamatan Penerbangan Awam (CASA).

Bateri litium gantian termasuk power bank lazimnya hanya dibenarkan dibawa dalam bagasi kabin kerana risiko kebakaran yang tinggi.

Virgin Airlines menyatakan, hasil siasatan itu mungkin akan membawa kepada perubahan dasar bateri mereka “bagi memastikan keselamatan penumpang dan ahli pasukan kami”.

Pihak CASA sebelum ini memaklumkan bahawa secara purata, setiap penumpang Australia membawa sekurang-kurangnya empat peranti dengan bateri litium boleh dicas semula, dan telah mengeluarkan amaran supaya penumpang menyimpan peranti tersebut dengan selamat semasa penerbangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button