Rukun Tetangga penggerak komuniti progresif
DI tengah-tengah arus kehidupan moden yang serba pantas, di mana tembok individualisme semakin meninggi, masih wujud satu benteng terakhir yang menyatukan hati-hati masyarakat iaitu Rukun Tetangga (RT).
Ia bukan sekadar sebuah organisasi kejiranan, tetapi simbol perpaduan, keberanian dan keprihatinan.

Ketika ancaman keselamatan membayangi atau jurang hubungan sesama jiran semakin melebar, RT tampil sebagai perisai yang mempertahankan keamanan, menghidupkan semangat gotong-royong dan menyuburkan kasih sayang dalam komuniti.
Sepanjang tahun 20024, terdapat 59,601 aktiviti telah dilaksanakan dalam usaha memperkasa KRT di seluruh negara.
Inilah kekuatan sebenar yang menjadi teras masyarakat harmoni iaitu bersatu padu dan berbakti demi sebuah kehidupan yang lebih sejahtera.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), kerajaan telah meletakkan Pembangunan Masyarakat Progresif sebagai satu daripada komponan penting inisiatif Anjakan Besar Pembudayaan Masyarakat Madani.
Justeru, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil inisiatif untuk memperkasa dan memperkukuhkan peranan RT sebagai Penggerak Komuniti Progresif.

“Ia melalui keberdayaan ekonomi, ketahanan, kebersamaan, pengupayaan dan daya kepimpinan komuniti, tadbir urus dan tatakelola yang cekap serta kerjasama strategik yang kondusif antara pelbagai pihak.
“Sejak penubuhannya, kelestarian RT sebagai pemacu dalam komuniti kejiranan telah terbukti memberi impak yang signifikan dalam membantu usaha kerajaan membangunkan komuniti setempat mencakupi pelbagai aspek seperti pengukuhan semangat kejiranan, keselamatan, pembelajaran sepanjang hayat, ekonomi dan kesejahteraan hidup komuniti,” jelas Aaron dalam satu kenyataan.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) mengambil inisiatif untuk memperkasa dan memperkukuhkan peranan RT sebagai Penggerak Komuniti Progresif.

Tambah beliau, bermula dengan konsep keselamatan pada tahun 1975, peranan RT telah ditransformasikan seiring dengan cabaran dan keperluan semasa masyarakat serta negara.
Pada tahun 1983, kerajaan telah memperkenalkan konsep kejiranan untuk menjadikan RT sebagai tapak integrasi dalam kehidupan bermasyarakat khususnya di kawasan-kawasan bandar dan perumahan.
“Usaha ini penting kerana semangat kejiranan, perpaduan dan keharmonian dalam komuniti adalah merupakan tonggak kepada kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara.
“Seterusnya pada tahun 2000, RT Alaf Baru telah diperkenalkan melalui konsep pembangunan komuniti yang memberi fokus kepada pengupayaan komuniti melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk berhadapan dengan perubahan gaya hidup dan isu-isu sosial semasa,” ujarnya lagi.

Menurut Aaron, selaras dengan penubuhan KPN pada 10 Mac 2020, KPN telah menyediakan gerak kerja yang memfokuskan kepada peranan RT supaya lebih jelas, komprehensif dan inklusif.
Empat gerak kerja komuniti tersebut ialah Gerak Kerja Komuniti Sejahtera, Gerak Kerja Komuniti Selamat, Gerak Kerja Komuniti Sihat dan Gerak Kerja Komuniti Bersih dan Indah.
Pelbagai inisiatif dilaksanakan dalam usaha memperkasa peranan KRT di setiap negeri.
“Inisiatif ini bertujuan untuk mendukung hasrat kerajaan menjadikan RT sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang kepada komuniti.
“Seterusnya pada tahun 2024 iaitu selaras dengan aspirasi Kajian Separuh Penggal RMKe-12 untuk membangun masyarakat progresif, maka kementerian mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan RT sebagai Penggerak Komuniti Progresif.

“Maka peranan RT sebagai penggerak, pengantara penting dan penjalin hubung (bridge builder) dalam masyarakat memerlukan lonjakan transformasi melalui landskap pembangunan yang dipacu oleh komuniti (community-driven development),” tegas beliau.
Sehingga kini, sebanyak lapan bidang tumpuan telah ditetapkan untuk menjadikan RT sebagai entiti yang penting dan inklusif serta berupaya membangun komuniti progresif iaitu Ekonomi dan Sara Hidup, Keselamatan dan Ketahanan Komuniti, Kepimpinan, Kesejahteraan Komuniti, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya serta Daya Cipta.
Projek tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran antara usaha yang dilaksanakan di pelbagai KRT seluruh negara.
Inisiatif Rukun Tetangga Progresif merangkumi tiga fasa pelaksanaan seperti berikut:

(a) Fasa 1 – Tahun 2024 (Jangka Masa Pendek)
Fasa pertama inisiatif pemerkasaan ini bermula pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM20 juta yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2024.
Oleh itu, Pelan Tindakan Pemerkasaan RT telah dibangunkan sebagai gerak kerja membangun komuniti progresif. Daripada 8,438 RT di seluruh negara, sekurang-kurangnya 116 RT diperkasakan sebagai Model RT Progresif.
(b) Fasa 2 – Tahun 2025 (Jangka Masa Sederhana)
Perluasan sekurang-kurangnya 500 RT yang akan diperkasakan atau dimodelkan sebagai RT Progresif.
(c) Fasa 3 – Tahun 2026 (Jangka Masa Panjang)
Cadangan agar Inisiatif Pemerkasaan RT diletakkan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) dan dilaksanakan secara berterusan.
Setiap negeri melalui Pejabat Perpaduan Daerah/Bahagian mengenalpasti RT-RT yang berpotensi untuk dimodelkan sebagai RT Progresif berdasarkan kriteria berikut:
(a) RT yang aktif, cemerlang dan berdaya saing
(b) Menjalankan pelbagai projek/program/aktiviti/perkhidmatan
(c) Kepimpinan yang komited
(d) Penglibatan aktif komuniti
(e) Mempunyai pelbagai sumber dalam kawasan (contoh: tanah, premis, kolam, modal insan, kepakaran tertentu)
(f) Mempunyai projek ekonomi untuk didayaupayakan atau dimajukan melalui bantuan dari segi latihan, bimbingan, kewangan, premis, teknologi, peralatan dan lain-lain.
(g) Mempunyai cadangan atau perancangan projek ekonomi untuk dilaksanakan (contoh: pertanian (kebun komuniti, penternakan, kraftangan dan projek atau program berimpak tinggi kepada komuniti.
(h) Mempunyai jaringan kerjasama strategik yang kondusif dengan pelbagai pihak yang membantu RT dalam pelaksanaan projek/ program/aktiviti/perkhidmatan.
(i) Memanfaatkan penggunaan teknolog moden, inovasi dan kreativiti dalam Pembangunan komuniti setempat.

Pemetaan sosial adalah merupakan satu tindakan awal yang perlu dilaksanakan sebelum pemberdayaan komuniti RT dilaksanakan melalui analisis profiling yang disediakan. Pemetaan sosial yang dibuat akan memberi kefahaman mengenai:
(a) Kondisi komuniti
(b) Potensi sumber-sumber dalam kawasan
(c) Keupayaan modal insan
(d) Mengidentifikasi isu atau permasalahan yang dihadapi oleh komuniti
(e) Keperluan projek atau aktiviti
(f) Stakeholder, rakan strategik dan pihak berkepentingan
(g) Cadangan tindakan pemberdayaan atau pemerkasaan
(h) Jumlah anggaran peruntukan yang diperlukan
Jumlah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang terdapat di seluruh negara.
3 KRT PROGRESIF (CONTOH TERBAIK)
I. KRT Kg Satey/Pantai, Batu Pahat
Projek: Katering Dapur Komuniti
Dana diberi: RM 25,500
Penerangan: Dalam masa setahun KRT akan memperolehi keuntungan bersih sebanyak RM37,440. Selepas ditolak dengan modal, KRT memperolehi lebihan sebanyak RM12,140. Oleh itu, sebanyak 60 peratus daripada lebihan jualan akan digunakan sebagai modal pusingan, 20 peratus pendapatan Jiran Wanita, 10 peratus Tabung Eknomi dan 10 peratus Tabung KRT
Respons Pengerusi KRT: Pengerusi KRT berterima kasih kepada kerajaan di atas insentif yang diberikan bagi membolehkan KRT menjalankan Projek Katering Dapur Komuniti yang akan memberi manfaat kepada Jiran Wanita.
II. KRT Kampung Sinar Budi Lama
Projek: Tanaman Buluh
Dana diberi: RM51,080
Penerangan: Meningkatkan pendapatan projek. Keuntungan yang jangka dalam tempoh 15 bulan adalah berjumlah RM68,920 setelah ditolak modal.
Respons Pengerusi KRT: Pengerusi KRT berterima kasih kepada kerajaan di atas insentif yang diberikan bagi membolehkan KRT menjalankan projek Tanaman Buluh yang akan memberi manfaat kepada peserta dan komuniti.
III. KRT JALAN K P11, PUTRAJAYA
Projek: Tanaman sayuran dan buahan
Dana diberi: RM10,000
Penerangan: Meningkatkan pendapatan projek. Anggaran kos perbelanjaan setahun = RM27,500
Anggaran hasil jualan setahun = RM36,000
Anggaran keuntungan kasar setahun = RM13,250
Respons Pengerusi KRT: Pengerusi KRT berterima kasih kepada kerajaan di atas insentif yang diberikan bagi membolehkan KRT menjalankan projek tanaman sayuran dan buahan yang akan memberi manfaat kepada peserta dan komuniti.
Antara produk yang berjaya dipasarkan oleh KRT negeri Johor, Kedah dan Kelantan.
PERANCANGAN JANGKA PANJANG
(a) Pemilihan dan penilaian RT untuk dimodelkan sebagai RT Progresif bagi tahun 2025 dan seterusnya akan dibuat secara lebih teliti dan kritikal.
(b) Menambahbaik dan mengoptimumkan penggunaan platform digital untuk memastikan kecekapan & keberkesanan pelaksanaan inisiatif RT Progresif.
(c) Memperkukuhkan kerjasama strategik dengan sektor swasta/korporat untuk menjadikan RT Progresif sebagai ‘Komuniti Angkat’ kepada mereka (CSR).
Senarai produk yang diusahakan di KRT Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Perlis.
(d) Membangunkan sekurang-kurangnya satu RT Progresif di setiap negeri sebagai Model/Pusat Rujukan dalam aspek kesukarelawanan, pembangunan komuniti dan penyatuan komuniti.
(e) Pelaksanaan projek ekonomi yang berskala besar yang memberi pulangan (ROI) yang tinggi dan berimpak tinggi kepada komuniti.
“Pemerkasaan RT Sebagai Penggerak Komuniti Progresif merupakan suatu inisiatif dan komitmen KPN melalui JPNIN untuk memperkukuhkan lagi peranan RT sebagai jentera perpaduan di peringkat komuniti.
Produk yang diusahakan KRT bagi negeri Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Ia merupakan langkah dalam pembangunan masyarakat progresif yang menjadi pemangkin kepada usaha mempertingkatkan inklusiviti, kemakmuran dan merintis jalan bagi menjadikan Malaysia sebagai negara yang lebih baik, sejahtera dan mampan untuk generasi akan datang selari dengan aspirasi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas.
“Usaha ini direncanakan berdasarkan kepada Kerangka Pemerkasaan RT Penggerak Komuniti Progresif yang bersifat inklusif dan komprehensif.
“Dengan keberdayaan ekonomi, kebersamaan komuniti, daya kepimpinan, keupayaan komuniti dan struktur pentadbiran yang kukuh serta kerjasama strategik yang kondusif dengan pelbagai pihak, RT akan dapat berperanan secara lebih efektif sebagai penggerak, pengantara dan penjalin hubung dalam komuniti untuk membangun masyarakat progresif,” ungkapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








