Ops Pantau: Perak dan Selangor catat kes kesalahan tertinggi – Fuziah Salleh
SEPANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan operasi pemantauan, Ops Pantau, bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan sepanjang bulan Ramadan ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Dr. Fuziah Salleh berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memantau harga barang, penguatkuasaan undang-undang perdagangan dan keselamatan pengguna di pelbagai premis perniagaan, termasuk bazar Ramadan, pasar, supermarket, dan mini market.
Katanya, sejak pelaksanaan operasi itu, pihak kementerian telah melakukan sebanyak 3,275 pemeriksaan yang melibatkan premis-premis di seluruh negara.
“Sebanyak 22 kes telah dikenal pasti, dengan 116 aduan diterima daripada orang ramai, yang membawa kepada kompaun berjumlah RM6,600 dan nilai rampasan sebanyak RM900.
“Ops Pantau ini merupakan langkah proaktif bagi memastikan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak mengambil kesempatan di bulan Ramadan dengan menaikkan harga barang sesuka hati, serta memastikan peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.
Terdahulu beliau melakukan tinjauan di bazar Ramadan di Kota Warisan di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, pihaknya juga memantau penggunaan alat penimbang yang sah, serta memastikan tanda harga diletakkan dengan betul.
Sementara itu beliau berkata, Perak mencatatkan kesalahan tertinggi dengan 10 kes, diikuti oleh Selangor dengan 4 kes.
“Keputusan ini menunjukkan bahawa penguatkuasa kementerian aktif melaksanakan pemantauan di lapangan bagi memastikan hak pengguna dilindungi.
“Kita akan terus memantau pelbagai premis perniagaan sepanjang bulan Ramadan ini untuk memastikan tidak ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang,” ujarnya.
Katanya, KPDN komited untuk melaksanakan tindakan yang tegas terhadap peniaga yang terbukti melakukan kesalahan.
“Ops Pantau diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai, terutama pengguna, untuk melaporkan sebarang penyelewengan dan masalah berkaitan harga barang serta peraturan perdagangan yang tidak dipatuhi.
“Pemeriksaan yang lebih giat akan diteruskan sepanjang bulan Ramadan ini bagi memastikan ketelusan dan keselamatan dalam perdagangan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








