PM X

Kalimah Allah: PM akan perjelas penarikan kes di Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menjelaskan tindakan  kerajaan menarik balik rayuan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penggunaan kalimah Allah pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, perkara berkenaan akan dijawab Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus mesyuarat Dewan Rakyat bermula 10 pagi.

Anwar dijadual berbuat demikian bagi menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan telah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan berunding dengan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri sebelum membuat keputusan sedemikian.

Pada 15 Mei, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama bagi tujuan pembelajaran.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, keputusan KDN menarik balik rayuan tersebut adalah disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan kabinet pada tahun 1986.

Katanya, KDN telah memperhalusi dan meneliti keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac 2021 dan mendapati berlaku percanggahan arahan pentadbiran yang menyebabkan keputusan berpihak kepada Jill Ireland.

Susulan daripada penarikan tersebut, KDN sedang mengkaji dan mengemas kini satu arahan pentadbiran lebih menyeluruh bagi menangani isu penggunaan kalimah Allah dalam bahan penerbitan.

Turut menjadi tumpuan hari ini mengenai perancangan kerajaan mengatasi masalah sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sehingga menyebabkan kesesakan di plaza tol serta beberapa isu berkaitan tatakelola kerajaan dalam melaksanakan rangkaian Internet 5G.

Show More

Related Articles

Back to top button