NTW 2025: Malaysia berhasrat latih sejuta individu tingkatkan kemahiran tenaga kerja
KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat untuk melatih sejuta individu dalam tempoh seminggu melalui Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025, sebagai usaha untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, jumlah penyertaan tahun ini merekodkan peningkatan ketara berbanding 275,000 peserta pada tahun lepas, menjadikan NTW 2025 edisi terbesar yang pernah dianjurkan.
“NTW ialah karnival latihan kebangsaan terbesar di dunia dan sejak penubuhannya, program itu menyediakan latihan percuma kepada ratusan ribu rakyat Malaysia.
“Latihan tersebut meliputi pelbagai kemahiran, daripada kecerdasan buatan (AI), analisis data dan keselamatan siber, kepada komunikasi, literasi kewangan dan seni budaya,” katanya.
Sim berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara hari ini.
Program berskala besar tersebut bakal menjadi pemangkin kepada revolusi pembelajaran dan peningkatan kemahiran bermula dari 14 hingga 21 Jun ini.
Bertemakan Pembelajaran Tanpa Batasan, NTW 2025 bukan sekadar platform pembelajaran biasa, tetapi satu gerakan yang bertujuan merobohkan halangan dan memperkasa individu serta perniagaan melalui latihan berkualiti tinggi.
Tambah Sim, bagi edisi tahun ini, NTW menyasarkan untuk menawarkan 70,000 kursus latihan percuma bernilai lebih RM750 juta dan turut memperkenalkan inisiatif baharu termasuk program ‘Shark Tank’ yang direka untuk menyokong usahawan muda dalam penjenamaan dan mendapatkan pelaburan.
Beliau berkata, inisiatif itu juga turut diperluaskan ke peringkat ASEAN, selaras dengan usaha Malaysia untuk menjadi hab latihan serantau.
“Satu lagi kejayaan NTW 2025 ialah peluasan di luar Malaysia kerana dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia tahun ini, NTW akan bekerjasama dengan negara anggota ASEAN untuk mempromosikan pensijilan dan pengiktirafan kemahiran merentas sempadan,” katanya.
Dalam pada itu, Sim turut berharap menjelang akhir kepengerusian Malaysia, NTW bukan hanya akan menjadi karnival latihan kebangsaan terbesar di dunia, tetapi juga sebagai inisiatif latihan serantau terbesar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















