BERITA SEMASA

Keluarga terperangkap lebih dua jam dalam lif, bayi hampir pengsan

SHAH ALAM – Seorang wanita meluahkan rasa terkilan selepas terperangkap lebih dua jam dalam lif sebuah hotel bersama ahli keluarganya, termasuk bayi berusia 13 bulan, akibat kelewatan tindakan pihak pengurusan hotel.

Mangsa, Intan Noratini Rahim, 30, berkata kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan kenalan di aras lima hotel berkenaan.

“Kami terperangkap dari pukul 9.10 malam hingga 11.20 malam. Suasana dalam lif sangat panas, semua berpeluh, dan bayi saya, Putri Nur Alisha, mula menangis sebelum menjadi lemah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurutnya, mereka cuba mendapatkan bantuan dengan menghubungi nombor pasukan selenggara hotel yang tertera di dalam lif, namun diminta untuk menunggu tanpa sebarang tindakan segera.

“Kami mahu hubungi bomba, tetapi pihak hotel kata tidak perlu kerana bomba tiada kaitan dengan lif.

“Pelik juga, jadi kami tunggu, tetapi selepas 30 minit, masih tiada bantuan. Kami terpaksa tekan butang kecemasan berkali-kali sebelum akhirnya mendapat respons,” katanya lagi.

Keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila lampu dan kipas dalam lif terpadam beberapa kali, dipercayai akibat usaha membaik pulih sistem oleh pihak hotel.

Sebelum ini, kejadian berkenaan tular di TikTok apabila 12 individu, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi, terperangkap dalam lif hotel di Kulim, Kedah pada Sabtu lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan semua mangsa melalui pintu atas siling lif.

“Kesemua mangsa berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan,” katanya lagi.

Intan bagaimanapun kesal kerana sehingga kini pihak pengurusan hotel masih belum membuat sebarang permohonan maaf atau penjelasan mengenai kejadian itu.

“Saya bersyukur semua selamat, tetapi saya amat kecewa kerana pihak hotel masih berdiam diri. Keselamatan tetamu harus menjadi keutamaan mereka,” katanya lagi.

Orang ramai berharap pihak hotel mengambil langkah proaktif bagi memastikan insiden seperti itu tidak berulang pada masa hadapan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button