Sukan

Piala Sudirman: Lee Zii Jia turun selaku perseorangan utama petang ini

Pemain utama negara itu dijangka bertemu Axelsen

SUZHOU – Skuad badminton Malaysia akan turun bertemu Denmark pada pukul 5 petang ini bagi peringkat suku akhir kejohanan Piala Sudirman 2023.

Pasukan Malaysia yang berjaya menjadi juara kumpulan C akan menurunkan pemain sensasi, Lee Zii Jia sebagai perseorangan pertama diikuti Goh Jin Wei untuk perseorangan wanita.

Zi Jia dijadualkan bertemu seteru utamanya dari Denmark, Viktor Axelsen bagi merebut mata pertama untuk skuad masing-masing.

Bagi acara beregu pula, Malaysia akan menurunkan pasangan utama negara iaitu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik manakala dalam acara beregu wanita pula akan digalas oleh pasangan Pearly Tan dan M. Thinaah.

Sementara itu pasangan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan menggalas tanggungjawab dalam acara beregu campuran dan menjadi penyumbang mata penting sekiranya keputusan terikat 2-2.

Skuad badminton negara akan bertemu pemenang perlawanan antara Korea Selatan dengan Taiwan jika layak ke separuh akhir.

Pada aksi peringkat kumpulan, Malaysia cemerlang apabila muncul juara apabila menang semua tiga perlawanan menentang Australia 5-0, India 5-0 dan Taiwan 4-1.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia dalam saingan Piala Sudirman adalah mara sehingga separuh akhir pada edisi 2009 di Guangzhou, China dan 2021 di Vantaa, Finland.

Show More

Related Articles

Back to top button