Alasan ‘bekerja’ antara sebab utama calon SPM 2024 tidak hadir duduki peperiksaan – Fadhlina
KUALA LUMPUR – Alasan ‘bekerja’ merupakan antara sebab utama ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi menduduki peperiksaan, tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, alasan lain dikemukakan termasuk masalah keluarga, masalah kesihatan, meninggal dunia dan berpindah ke luar negara.
“Berdasarkan data, seramai 8,076 calon SPM didapati tidak hadir menduduki peperiksaan berdasarkan rekod KPM setakat 6 Februari lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 6,231 orang adalah calon sekolah KPM,” kata Fadhlina dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat, hari ini.
Jelas Fadhlina, KPM memandang serius isu ketidakhadiran calon dalam peperiksaan SPM, dengan analisis kehadiran calon bagi peperiksaan SPM yang dilaporkan setiap tahun adalah berdasarkan calon sekolah KPM yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.
Bagi SPM 2024, kata Fadhlina, seramai 386,739 calon mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran, yang mana 345,129 daripadanya adalah calon sekolah KPM.
Justeru, bagi menangani isu ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan SPM, KPM sudah melaksanakan intervensi antaranya memantau kehadiran murid ke sekolah secara harian melalui Sistem Kehadiran Murid (eKehadiran) dalam Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) agar memudahkan pihak sekolah melaksanakan intervensi.
Selain itu, KPM turut mengaktifkan Task Force Intervensi Murid Berisiko Cicir SPM pada semua peringkat dan memantau status murid berisiko cicir melalui papan pemuka bertujuan untuk memastikan kehadiran calon dalam peperiksaan SPM dan mengoptimumkan tindakan intervensi yang bersesuaian.
“Turut dilaksana, melaksanakan aktiviti berfokus seperti Program Ziarah Cakna, sesi konsultasi ibu bapa, permuafakatan Persatuan Ibu Bapa Guru serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta.
“Kebersamaan dalam melaksanakan tindakan ini menunjukkan usaha yang optimum daripada semua pihak,” katanya lagi.
Fadhlina turut berkata, KPM turut proaktif dengan melaksanakan pengesanan awal murid berisiko cicir dalam kalangan murid tingkatan empat bagi memastikan mereka akan hadir menduduki peperiksaan SPM 2025.
“Pengesanan awal ini membolehkan pihak sekolah membuat perancangan bagi melaksanakan intervensi. Program SPM 2025 akan diteruskan dengan memberi fokus kepada murid yang berisiko cicir bagi meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran wajib lulus SPM iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








