Tiada lesen memandu paling tinggi dalam operasi khas Tahun Baharu Cina di Selangor
KAJANG – Penunggang motosikal menjadi golongan paling ramai dikesan tidak memiliki lesen memandu sepanjang pelaksanaan Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 yang bermula sejak 20 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, hasil pemeriksaan terhadap 97,088 kenderaan sepanjang sembilan hari operasi mendapati tiada lesen memandu menjadi kesalahan paling tinggi direkodkan.

“Selain itu, kesalahan lain termasuk cukai jalan tamat tempoh, ketiadaan perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh serta pelbagai kesalahan teknikal seperti kegagalan menyelenggara kenderaan, tayar haus, lampu brek tidak berfungsi dan penggunaan cermin gelap,” katanya dalam sidang media penutup operasi di Plaza Tol Lebuhraya Kajang SILK, semalam.
Menurutnya, motosikal merupakan kenderaan paling banyak dikenakan saman dengan 1,721 kesalahan direkodkan, diikuti lori melebihi 7,500 kilogram (1,378 kes) dan lori kurang 7,500 kilogram (1,071 kes).
“Sebanyak 8,242 notis saman telah dikeluarkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) serta kaedah-kaedah di bawahnya,” jelasnya.
Operasi Khas Tahun Baharu Cina 2025 dilaksanakan oleh JPJ dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta pihak konsesi lebuh raya bagi memastikan keselamatan dan kepatuhan pengguna jalan raya sepanjang musim perayaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








