BBC kecam Hamzah Zainudin tuduh PM menderhaka
KUALA LUMPUR – Kelab Penyokong Kerajaan Madani (Backbenchers Club – BBC) mengecam dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja.
Menurut kenyataan BBC, tuduhan tersebut dilontarkan dalam Dewan Rakyat baru-baru ini dan merupakan cubaan untuk menghasut rakyat serta mencemarkan imej Perdana Menteri.
BBC berkata, Anwar telah mengesahkan kewujudan titah Tuanku Sultan Pahang berkaitan tahanan rumah untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun, katanya titah tersebut tidak pernah diserahkan kepada beliau secara peribadi.
“Urusan berkaitan titah addendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara bukan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.
“Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan,” tegas kenyataan itu.
BBC turut menuduh Hamzah memanipulasi fakta demi kepentingan politik dengan memainkan sentimen institusi diraja.
“Tindakan itu adalah taktik lapuk pembangkang untuk mengelirukan rakyat. Ia satu cubaan tidak bertanggungjawab yang boleh mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya lagi.
BBC turut menolak dakwaan bahawa pelabur asing enggan melabur di Malaysia disebabkan kononnya berlaku unsur penderhakaan.
“Keputusan pelabur bergantung kepada kestabilan ekonomi, dasar mesra pelabur dan keyakinan terhadap kepimpinan negara, bukannya fitnah politik yang tidak berasas,” ujar kenyataan itu lagi.
BBC menyifatkan fitnah sebegini bukan sahaja menunjukkan ketidakmatangan politik Hamzah, malah boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.
“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukannya menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata,” tegas BBC.
BBC turut berkata, Perdana Menteri sentiasa menunjukkan penghormatan tinggi terhadap institusi diraja dan berpegang kepada prinsip Raja Berperlembagaan.
“Segala tindakan kerajaan adalah selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara,” katanya lagi.
BBC menyeru rakyat supaya menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














