Jenayah & Mahkamah

Samun pembekal emas, polis tahan seorang suspek

SEREMBAN – Pihak polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun barangan kemas bernilai lebih RM1 juta di belakang sebuah kedai emas di Kuala Pilah dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Pilah, Syahrul Anuar Abdul Wahab, berkata, lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di Kuala Pilah, pada pukul 10 malam tadi.

Tambahnya, lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari hingga 10 Mei dan polis sedang mengenal pasti identiti seorang lagi suspek, selain penglibatan individu lain.

“Kita syaki kegiatan samun ini telah dirancang dalam beberapa hari, kalau tengok pada rakaman litar tertutup dari kedai emas tersebut, memang nampak mereka sudah bersedia dengan baik.

“Jadi daripada situ kita cuba kenal pasti dan akan buat beberapa tangkapan lagi selepas ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Rakaman video kejadian tersebut menjadi tular di media sosial, sejak petang semalam.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 11 pagi itu, dua pembekal barang kemas yang membawa dua beg berisi barangan, berdepan detik cemas apabila dirompak dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang di lorong belakang kedai emas berkenaan.

Turut dirakam dalam video berkenaan, sebuah kereta berwarna perak dilihat berhenti berhampiran mangsa yang sedang keluar daripada kereta mereka.

Kedua-dua suspek turun daripada kereta berwarna perak itu lalu menyerang mangsa dan melarikan diri bersama dua beg tersebut.

Show More

Related Articles

Back to top button