Kematian adik Adham: Ke mana hilangnya simpati, pertimbangan?
KLANG – Dilahirkan tidak sempurna dengan hanya memiliki satu mata, tiada hidung dan tiada lubang dubur, kes kematian adik Muhammad Adham Mikail yang jenazahnya ditahan sehingga 16 hari di sebuah hospital swasta mengundang kesedihan dalam kalangan netizen.
Hanya kerana bayaran hospital berjumlah RM2,480 yang tidak dilunaskan, pihak hospital dikatakan sanggup menyimpan jenazah anak syurga itu selama dua minggu di dalam peti sejuk beku.
Pendedahan mengenai perkara itu dibangkitkan oleh aktivis sosial Malaysia, Wan Cai melalui satu hantaran di Facebook beliau.

“Sebagai orang yang bertanggungjawab mewujudkan NGO Unit Khas Van Jenazah, saya terpanggil untuk menyuarakan pendapat peribadi. Apabila berlakunya sesuatu kematian, seharusnya pengurusan ke atas jenazah perlu disegerakan.
“Tiada alasan mahupun perkara yang boleh diguna pakai untuk melambatkan proses pengurusan melainkan hanya darurat. Dalam isu yang berlaku, jelas tindakan pemilik hospital menahan jenazah adik Adham daripada diuruskan adalah satu tindakan tidak wajar dan kejam.
“Seperti yang dimaklumkan, pihak hospital telah menahan ibunya keluar dari wad selagi bayaran tidak dibuat oleh si ayah. Yang menjadi persoalan, kenapa jenazah adik Adham perlu ditahan dan disimpan di dalam peti sejuk mayat selama dua minggu? Bukankah si ibu sudah ditahan untuk dijadikan jaminan kepada pihak hospital?
“Apa motif tahan ibu bersama jasad bayi yang tak bersalah? Di manakah sifat perikemanusiaan yang ada pada seorang doktor yang beragama Islam? Puaskah membiarkan jasad seorang bayi yang dilahirkan cacat berada di peti sejuk tanpa diuruskan?
“Adakah duit lebih penting dari segala-galanya hingga terlupa pada hukum fardu kifayah? Satu perkataan sahaja layak diberikan kepada doktor tersebut iaitu KEJAM!!” tulis Wan Cai.
Sehingga artikel ini ditulis, status tersebut telah menerima 35,000 reaksi, 5,800 komen dan 19,300 perkongsian.

“Sedih tengok muka ayah dia. Agaknya macam mana la masa ayahnya ke hulu ke hilir mencari duit nak keluarkan anak dan isterinya. Ya Allah, semoga Allah kurniakan rezeki yang mencurah untuk dia sekeluarga. Syurga dah pasti untuk baby,” komen Maksu Iza.
“Boleh tak kalau ada peguam medical tolong keluarga ni? Sebab ada smell something fishy. Ada polisi juga seingat saya, kita tak boleh menghina warga perubatan dan warga perubatan pun tak boleh hina patient. Adik ni betul-betul teraniaya,” tulis Wanie Fawzy pula.
Berdasarkan kronologi yang diceritakan dalam status tersebut, ibu adik Adham telah dihantar ke sebuah hospital swasta oleh seorang rakan ayahnya. Ketika itu, ayahnya bekerja syif malam.
Namun disebabkan beberapa komplikasi, bayi itu dilaporkan meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan.
Melalui status tersebut, Wan Cai turut memuatnaik video memandikan jenazah adik Adham yang kelihatan sudah keras kerana terlalu lama disimpan di dalam peti sejuk mayat hospital tersebut.
Allahuakbar. Semoga ada keadilan buat adik Adham dan tindakan buat pelaku yang tidak bertanggungjawab menahan jenazahnya diuruskan lebih awal.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








