MCMC perkenal garis panduan keselamatan maklumat dan rangkaian
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) secara rasmi menerbitkan Garis Panduan Keselamatan Maklumat dan Rangkaian untuk Industri Komunikasi dan Multimedia Industri (INSG).
Panduan itu bertujuan meningkatkan keselamatan maklumat dan rangkaian serta daya tahan industri komunikasi dan multimedia di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC berkata, INSG berfungsi sebagai suatu kerangka amalan terbaik dan tidak mandatori buat masa ini.
“Namun demikian MCMC menggalakkan pihak industri mengguna pakai amalan terbaik ini di dalam pengoperasian mereka sebagai sebahagian daripada langkah proaktif dalam memperkukuh keselamatan siber bagi industri komunikasi dan multimedia.
“Pendekatan ini memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan untuk menyesuaikan diri dengan garis panduan itu dan memberikan maklum balas penambahbaikan,” menurut kenyataan itu.
MCMC berkata, INSG bukan bertujuan menambah peraturan baharu, sebaliknya untuk meningkatkan keupayaan dan ketersediaan penyedia perkhidmatan untuk mengurus risiko siber, mengurangkan kebocoran data, meminimumkan gangguan melalui pengukuhan prasarana serta melindungi pengguna daripada ancaman dalam talian.
“Semasa fasa pembangunan INSG, MCMC secara aktif melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk firma keselamatan siber, perunding keselamatan, pemegang lesen penyedia termasuk pusat data dan penyedia perkhidmatan awan, kementerian, agensi kerajaan, badan kawal selia, NGO, ahli akademik dan forum bawah MCMC.
“Maklum balas, cadangan dan pandangan yang diberikan telah dinilai dengan teliti dan jika sesuai, ia diserapkan ke dalam INSG,” kata MCMC.
“Pendekatan inklusif dan telus ini mencerminkan komitmen MCMC untuk memastikan garis panduan ini memenuhi keperluan dalam pengurusan keselamatan siber dipatuhi.”

MCMC berpandangan, INSG merupakan langkah penting dalam melindungi ekosistem digital Malaysia, memastikan prasarana rangkaian yang selamat dan berdaya tahan untuk semua.
“Ini mencerminkan usaha berterusan MCMC untuk menangani cabaran landskap siber yang semakin kompleks sambil memupuk kepercayaan dan keselamatan dalam persekitaran digital negara.”
Untuk maklumat lanjut mengenai garis panduan ini, sila lawati https://www.mcmc.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








