RENCANAGAYA HIDUP

Ekspedisi Rombituan: Jejak warisan budaya dan keindahan alam Sabah

SEKUMPULAN pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan, Politeknik METro Kuantan di Pahang telah menjalankan satu ekspedisi unik yang digelar Rombituan: Wildheart Of Sabah.

Ia sebuah perjalanan yang merangkumi eksplorasi budaya dan destinasi pelancongan menarik di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Para peserta ekspedisi bergambar di Jambatan Gantung Tamparuli.

Ekspedisi itu bukan sekadar perjalanan biasa, tetapi sebuah misi untuk mendekati keindahan flora dan fauna Sabah serta mendalami adat resam pelbagai etnik yang menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat.

Dari hutan hujan tropika yang kaya dengan biodiversiti hingga ke kampung tradisional yang penuh warna-warni, setiap langkah mereka menyusuri Sabah membawa pengalaman luar biasa yang membuka mata dan menyentuh hati.

Pensyarah Kursus Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Farizah Mohamad berkata, matlamat utama program itu adalah untuk memberikan pelajar pengalaman pembelajaran secara praktikal dalam bidang pelancongan.

Mencabar diri dengan menaiki kenderaan ATV untuk menerokai keindahan alam semula jadi di Sabah.

“Ia juga merupakan penglibatan penilaian integrasi dua kursus iaitu projek ekspedisi pelancongan eksplorasi budaya dan projek penulisan kreatif (food and travel writing).

“Selain itu, ia bertujuan meningkatkan tahap kefahaman teori dan praktikal tentang ekspedisi pelancongan mengikut kehendak silibus pembelajaran ekspedisi pelancongan e-tourism.

“Tidak ketinggalan, program ini turut melatih kompentensi pelajar dalam menganjurkan dan melaksanakan aktiviti ekspedisi di Malaysia, sebagai aktiviti mempromosikan institusi Politeknik METrO Kuantan melalui ekspedisi yang dilaksanakan,” ujarnya.

Peluang mempelajari kebudayaan kaum yang ada di Sabah di Mari-Mari Cultural Village.

Tambah beliau, lokasi itu dipilih kerana keistimewaannya yang tersendiri iaitu menawarkan gabungan keindahan alam semula jadi seperti hutan hujan tropika, gunung dan sungai yang jernih di samping kebudayaan unik masyarakat tempatan.

“Kebudayaan di Sabah dan Semenanjung Malaysia memiliki persamaan dan perbezaan yang mencerminkan kepelbagaian etnik, sejarah dan pengaruh luar yang membentuk setiap wilayah tersebut.

“Perbezaan budaya di Sabah adalah dipengaruhi oleh kepelbagaian etnik dan bahasa kerana Sabah mempunyai kepelbagaian etnik yang sangat tinggi iaitu lebih daripada 30 etnik utama seperti Kadazan-Dusun, Bajau, Murut dan lain-lain. Keunikan budaya di Sabah tertumpu pada faktor ini. Setiap etnik pula mempunyai bahasa dan dialek tersendiri.

Semua peserta yang terlibat dalam program kebudayaan teruja mempelajari keistimewaan suku kaum yang ada di negeri bawah bayu.

“Di Semenanjung Malaysia, walaupun etnik pelbagai, namun lebih dominan dengan kumpulan etnik Melayu, yang merupakan kumpulan majoriti. Jadi, perbezaan ini amatlah ketara di mana di Sabah, ritual dan perayaan, kepercayaan, kesusasteraan dan seni, makanan dan pengaruh sejarah menjadikan budaya menjadi faktor utama pemilihan lokasi ini.

“Walaubagaimanapun, keduanya saling melengkapi dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang penuh dengan adat dan warisan,” jelasnya merangkap ketua bagi ekspedisi pelancongan tersebut.

Sementara itu, pelajar yang mengikuti ekspedisi tersebut, Nur Kamilia Adriana Mohd Khairul berkongsi, antara cabaran utama yang mereka hadapi adalah pengurusan logistik, terutamanya untuk memastikan keselamatan dan keselesaan semua peserta.

Suhu sejuk dan cuaca tidak menentu bagaimanapun tidak menjejaskan semangat peserta ekspedisi tersebut.

“Sepanjang menjalankan ekspedisi di Sabah, suhu di sana amat sejuk terutama apabila tiba di Kundasang. Cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat menjelang malam menyukarkan pergerakan di kawasan pedalaman.

“Kemudian di Mari Mari Cultural Village, kami telah mengadakan aktiviti pertukaran budaya. Di situ saya berdepan cabaran terhadap keyakinan diri kerana rasa agak gementar. Namun, selepas beberapa ketika, saya berasa sangat seronok dapat menari bersama mereka,” jelas pelajar Semester 4 Diploma Pengurusan Pelancongan itu.

Pensyarah E-Tourism, Nor Akashah Kassim pula berkongsi, kebudayaan di Sabah sangat unik dan berbeza kerana kepelbagaian suku kaum di sini seperti Kadazan-Dusun, Murut dan Bajau, yang masing-masing mempunyai adat resam, bahasa dan seni tradisional mereka sendiri.

Dua orang pensyarah yang terlibat dalam ekspedisi ini iaitu Nor Akashah (kiri) dan Farizah.

“Kepelbagaian ini memberi pelajar perspektif baru dan meningkatkan penghargaan terhadap warisan budaya Malaysia. Pada akhirnya nanti, pelajar mampu meneroka keunikan tersebut untuk diceritakan semula kepada pelancong apabila berada di barisan hadapan sebagai pemandu pelancong kelak.

“Seterusnya mereka juga dapat melihat sendiri bagaimana kerjaya di dalam bidang pelancongan apabila tamat pengajian nanti,” katanya.

Salah seorang pelajar yang turut mengikuti ekspedisi tersebut, Muhammad Zulhakimi Shahperi berkata, dia teruja dengan keindahan alam semula jadi yang sangat memukau di Sabah.

Para peserta gembira apabila menerima layanan baik daripada masyarakat di sana.

“Masyarakatnya juga mudah mesra dan begitu baik melayan kami. Video dokumentari yang kami hasilkan juga menunjukkan betapa peramahnya mereka dan bertuah kerana memiliki banyak lokasi menarik untuk diterokai,” ungkapnya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Wan Muhamad Fitri Wan Zahari berkata, pihaknya berharap ekspedisi itu dapat memberikan impak positif terhadap pelajar dan komuniti.

“Saya percaya bahawa pengalaman ini bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman para pelajar mengenai kurikulum yang dipelajari, malahan juga kesedaran tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar serta memperkaya pengetahuan mereka mengenai kebudayaan dan biodiversity di negeri Sabah.

Sebahagian peserta bergambar kenangan ketika melawat beberaoa lokasi menarik di sana.

“Pihak pengurusan juga sentiasa menyokong program-program seumpama ini pada masa akan datang. Selain itu, ekspedisi ini diharapkan dapat memupuk semangat cintakan negara dan kesedaran terhadap keindahan budaya serta alam semula jadi Malaysia.

“Ia juga membuka peluang untuk Politeknik METrO Kuantan menjalinkan hubungan lebih erat dengan komuniti setempat di Sabah, sekali gus mempromosikan institusi ini di peringkat nasional,” jelas Wan Muhamad Fitri.

Secara keseluruhan, seramai 21 orang pelajar terlibat dalam ekspedisi ini yang berlangsung pada 21 hingga 25 Oktober 2024.

Salah satu lokasi menarik yang dilawati peserta ekspedisi ini di Lamin Kopio iaitu pertemuan di antara Gunung Kinabalu dan sungai. 

Antara lokasi yang diterokai dan dikunjungi ialah Rumah Terbalik Tamparuli, Jambatan Gantung Tamparuli, Pekan Nabalu Handcraft, ATV Borneo, Desa Fairy Farm, Canopy Walkway dan Kinabalu Park & Botanical Garden.

Kemudian, mereka turut melawat Kampung Luanti Fish Spa, Strawberry Garden, Kundasang Memorial Park, Masjid Terapung, Mari-Mari Cultural Village, Jamilah Mutiara Shopping, Filipino Market dan Coco Kingdom Chocolate House.

Untuk menonton dokumentari Ekspedisi Rombituan Wildheart Of Sabah yang dihasilkan pelajar, layari https://www.youtube.com/watch?v=o-Rzarua4dY&t=98s.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button