Kemunculan Shuib undang sebak, bantu Sarkas rangkul juara MLS4
PUTRAJAYA – Kemunculan Shuib di pentas akhir Muzikal Lawak Superstar 4 (MLS) malam tadi membuktikan kredibilitinya sebagai seorang pelawak senior sekali gus membantu kumpulan Sarkas menjuarai MLS4.
Dialog yang dilontarkan secara spontan melalui persembahan bertemakan persahabatan ternyata menyentuh hati netizen.
Malah, paparan skrin yang menunjukkan bekas anggota Sepahtu, Mamat yang menangis menyaksikan persembahan Sarkas di tempat duduk penonton menambah kesedihan bagi mereka yang memahami nilai persahabatan mereka.
Lagu kenangan yang dibawakan kumpulan itu juga menjadi faktor utama yang membuatkan para penonton berdiri memberi tepukan gemuruh sebaik persembahan mereka berakhir.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad dijemput sebagai undangan khas kumpulan Sarkas yang dianggotai Danial Zaini, Shashic dan Acap S memberikan aksi terbaik termasuk lontaran dialog yang kena dengan situasi ketika ini.
“Pakcik dari Perkeso. Hahaha… Shuib, Shuib,” kata Hasdrul Zainudin.
“Shuib dah jadi senior. Karakter macam ni dah jadi legend. Membawa kepada kemenangan Sarkas,” komen Ukpostbox4 pula.
“Ada mesej yang Shuib nak sampaikan tu,” tulis Fablo Mantoya.
Antara dialog yang menjadi tumpuan ialah:
“Sana gaduh sini gaduh… pening ah. Dulu kumpulan atuk cakap jom kita berpisah, macam ni lah… akhirnya apa yang atuk dapat? Sedih setiap hari mengenangkan sahabat.”
Kemenangan kumpulan Sarkas menjuarai MLS4 membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 berserta trofi.
Tempat kedua dimenangi kumpulan Padie yang dianggota Fad, Namie dan Aretoy sekali gus memenangi RM75,000 beserta trofi.
Kumpulan Puteh iaitu Ali Puteh, Aya Amiruddin dan Man Raja Lawak pulak meraih tempat ketiga dan menerima RM50,000 serta trofi.
Pentas akhir MLS4 menyaksikan lima kumpulan bersaing merebut trofi kejuaraan termasuk Deroyan dan Zuara.