Berita Semasa

Ayuh sertai cabaran pendakian anak tangga Menara Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR – Buat para penggemar sukan ekstrem, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. sekali lagi akan membawakan acara larian anak tangga, Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge 2024 (KLTITC24) yang pasti menguji ketahanan diri peserta.

Pada edisi KLTITC24 yang akan berlangsung pada 8 Disember ini, peserta bakal memecahkan rekod baharu dengan pendakian 1,608 anak tangga pada ketinggian 292 meter di Pelantar Pemandangan Tertutup (Observation Deck), TH04.

Penganjuran KLTITC24 memasuki edisi ke-22 tahun ini.

Lebih menarik, sejumlah wang tunai bernilai RM80,000 yang ditawarkan sebagai hadiah kemenangan dijangka mampu menarik penyertaan penggemar sukan mendaki anak tangga sama ada peserta tempatan mahupun antarabangsa.

Memasuki edisi ke-22 penganjurannya, acara sukan ini diharap dapat membangkitkan momentum para peserta untuk mencipta rekod baharu sekali gus meraikan kejayaan mereka tahun ini.

“Acara Turkish Airlines KL Tower International Towerthon Challenge tahun ini membawa maksud yang istimewa kerana kami meraikan ulang tahun ke-28. Selain itu, di sebalik cabaran fizikalnya, acara ini meraikan dan menyatukan orang ramai yang berkongsi minat serupa dari pelbagai latar belakang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Nazli Saad.

Terdapat enam kategori dipertandingkan iaitu peserta tempatan dan antarabangsa dengan pembagian acara Terbuka Lelaki/Wanita; Veteran Lelaki/Wanita dan Kanak-Kanak Lelaki/Wanita bagi setiap kategori.

Bagi penyertaan awal (early bird) sehingga 21 November ini, yuran dikenakan sebanyak RM90 bagi peserta tempatan dan RM120 (peserta luar negara). Manakala pendaftaran selepas tarikh tersebut menyaksikan peningkatan harga iaitu RM160 bagi peserta tempatan dan RM240 (peserta antarabangsa).

Seramai 100 peserta terbaik dalam setiap enam kategori akan menerima T-Shirt FINISHER istimewa, di samping hadiah eksklusif lain daripada rakan penaja acara KLTITC24 termasuklah Turkish Airlines, Kementerian Belia & Sukan, Tourism Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Polis Diraja Malaysia dan lain-lain lagi.

Dirancang dengan strategi yang tepat, KLTITC24 kali ini bertujuan untuk meningkatkan profil Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. sebagai pusat pelancongan yang wajib dilawati dan meletakkan Malaysia sebagai salah satu pusat pelancongan utama di Asia Tenggara.

Melalui kerjasama bersama Turkish Airlines, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. berhasrat untuk memperluaskan lagi nama dan jenamanya di peringkat global dan pada masa yang sama menarik penyertaan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Bagi mereka yang ingin menyertai acara KLTITC24 ini, boleh melayari portal rasmi di https://v2.checkpointspot.asia/event/KL-Tower-Run-24 atau hubungi hubungi talian khidmat pelangan di 03-2020 5421 atau layari media sosial rasmi @menarakl di Facebook, Instagram dan TikTok serta laman sesawang kltower.com.my.

Show More

Related Articles

Back to top button