Polis rakam keterangan 9 individu, bantu siasatan kes pelajar UPNM retak rusuk, tulang belakang
KUALA LUMPUR – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan daripada sembilan individu bagi membantu siasatan penuntut Tahun Satu Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang dipercayai dipijak pelajar senior pada 21 Oktober lepas.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, pihaknya dijangka akan merakam keterangan suspek pada petang ini di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.
“Setakat ini, sembilan individu telah dirakam percakapan manakala suspek pula dijangka tampil di IPD Cheras pada petang ini untuk dirakam keterangan,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan sudah menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.40 malam Jumaat.
Rusdi dilaporkan berkata, kejadian berlaku pada jam 10.45 malam 21 Oktober lalu, ketika mangsa berada di tepi padang kawad setelah selesai panggil nama.
Kejadian menyebabkan mangsa yang berusia 19 tahun mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak oleh seorang pelatih tahun tiga.
Difahamkan, mangsa kini sedang mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan yang dialami.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Pertahanan berpendirian kejadian seumpama itu tidak wajar berlaku dan hanya merosakkan imej UPNM dan institusi pengajian tinggi.
Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




















