
Polis tingkat keselamatan rumah ibadat selepas serangan di Gereja St Joseph
SINGAPURA – Polis Singapura meningkatkan rondaan di sekitar rumah ibadat bagi memastikan keselamatan orang ramai susulan kejadian tikaman terhadap seorang paderi di Gereja St Joseph, Bukit Timah, pada Sabtu lalu.
Kementerian Dalam Negeri (MHA) berkata, pihaknya turut berhubung dengan Gereja St Joseph untuk menawarkan sokongan termasuk bantuan psikologi profesional kepada para jemaah, terutama kanak-kanak yang menyaksikan kejadian itu.
Kejadian berlaku ketika upacara misa sekitar pukul 5.30 petang, yang mana Christopher Lee, 57, paderi gereja tersebut ditikam oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau.
Senjata itu akhirnya berjaya dirampas oleh dua anggota jemaah sebelum suspek ditahan polis.
Suspek berusia 37 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kecederaan serta kesalahan dadah.
MHA memaklumkan bahawa individu itu bertindak sendirian dan tiada bukti menunjukkan serangan tersebut bermotifkan agama atau berkaitan keganasan.
“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah pada Isnin (hari ini) atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya dan polis akan memohon perintah reman untuk penilaian psikiatri.
“MHA menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi semasa siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Uskup Agung Singapura, Kardinal William Goh, dalam surat pastoralnya berkata, gereja akan menyemak semula protokol keselamatan di parokinya.
Beliau menekankan kepentingan memastikan keselamatan rumah ibadat tanpa menghalang penganut daripada menghadiri ibadat.
“Gereja adalah ruang awam dan langkah keselamatan berlebihan mungkin menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah. Namun insiden itu mengingatkan kita tentang kepentingan keselamatan, terutama apabila ia melibatkan rumah ibadat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







