Berita SemasaSukan

Aaron-Wooi Yik tamatkan ‘kemarau’ kejuaraan

SEOUL – Beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya berjaya menamatkan kemarau kejuaraan lebih setahun dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila meraih gelaran Kejohanan Badminton Korea Masters 2024.

Pada perlawanan akhir di Gimnasium Iksan, di sini hari ini, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu berjaya menewaskan wakil tuan rumah, Jin Yong-Kim Won Ho menerusi aksi rubber set 21-23, 21-19, 21-14.

Walaupun turun sebagai pilihan utama, Aaron-Wooi Yik berdepan aksi sukar apabila diberi tentangan sengit beregu Korea tersebut, menyaksikan pasangan negara tewas 21-23.

Bersambung set kedua, Malaysia terus berada dalam situasi sukar apabila menyaksikan beregu tuan rumah mendahului 6-2, namun Aaron-Wooi Yik berjaya memperkemaskan permainan dan memenanginya 21-19.

Dalam set penentuan, aksi kedua-dua pasukan dilihat cukup seimbang, namun semangat memburu kemenangan berjaya mendorong Aaron-Wooi Yik mencatat kemenangan 21-14.

Selaku juara, Aaron-Wooi Yik membawa pulang hadiah wang tunai AS$15,750 (RM69,014) berserta pingat, manakala Jin Yong-Won Ho berpuas hati dengan AS$7,980 (RM34,967) dan pingat sebagai pemenang tempat kedua.

Show More

Related Articles

Back to top button