Indonesia tersingkir awal, cipta sejarah hitam Piala Thomas 2026
HORSENS – Indonesia mencipta sejarah hitam apabila tersingkir seawal peringkat kumpulan dalam saingan Piala Thomas 2026 selepas tewas 1-4 kepada Perancis dalam aksi terakhir Kumpulan D di Forum Horsens, hari ini.
Kekalahan itu menyaksikan skuad Garuda gagal mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan mereka dalam Piala Thomas.
Sebelum ini, pencapaian terburuk Indonesia hanyalah tersingkir di peringkat suku akhir pada edisi 2012, menjadikan keputusan kali ini sebagai detik paling mengecewakan buat kuasa besar badminton dunia itu.
Dalam perlawanan tersebut, Indonesia terlebih dahulu ketinggalan apabila Jonatan Christie tewas kepada Christo Popov 21-19, 21-14.
Kedudukan semakin sukar apabila Alwi Farhan turut gagal menyumbang mata selepas tewas kepada Alex Lanier 21-16, 21-19.
Harapan Indonesia untuk bangkit tidak kesampaian apabila Anthony Sinisuka Ginting tewas dalam pertarungan sengit kepada Toma Junior Popov 22-20, 15-21, 22-20.
Lebih memeritkan, kekuatan tradisi Indonesia dalam acara beregu turut gagal menyelamatkan pasukan apabila pasangan Moh Reza Pahlevi Isfahani dan Sabar Karyaman Gutama tewas kepada gandingan Perancis, Adam Eloi dan Leo Rossi 21-19, 21-19.
Indonesia hanya mampu meraih satu mata saguhati menerusi pasangan Fajar Alfian dan Muhammad Shohibul Fikri dalam perlawanan terakhir.
Sementara itu, pemain Perancis, Toma Junior Popov menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hasil kerja berpasukan yang luar biasa.
“Kami sangat bangga dan membuktikan kemampuan sebagai satu pasukan,” memetik The Star online.
Keputusan itu menyaksikan Indonesia tersingkir awal, manakala Perancis melakar sejarah tersendiri apabila mara ke suku akhir buat kali pertama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








