Berita Semasa

KPDN tarik kuota bungkus minyak subsidi daripada 25 syarikat

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menarik balik kuota pembungkusan minyak subsidi yang diberikan kepada 25 syarikat antara Januari hingga Oktober lalu kerana pelbagai kesalahan dan pelanggaran syarat kuota.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh berkata, 13 daripada 25 syarikat turut digantung kuota yang diberikan kerana pihaknya turut membuka kertas siasatan ke atas mereka.

“Penarikan dan penggantungan kuota adalah salah satu bentuk tindakan punitif yang dikenakan kepada syarikat pembungkusan kerana melanggar syarat-syarat pemegang kuota sebagai peserta di bawah Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

“Syarikat berkenaan boleh dikenakan hukuman lebih berat iaitu tindakan perundangan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, sekiranya didapati melanggar peraturan-peraturan dan syarat khas lesen,” kata Fuziah.

Tambahnya, KPDN juga sedang meneliti dan menimbangkan beberapa syarikat pembungkusan yang masih disiasat bagi tujuan penggantungan dan penarikan kuota.

“Hasil tindakan penguatkuasaan dan maklumat yang diperolehi, terdapat segelintir syarikat pembungkus, pemborong dan pembekal didapati terbabit dalam aktiviti ini (penyelewengan).

“Keuntungan lumayan hasil kegiatan haram ini menjadi faktor utama (penyelewengan) selain boleh mendapatkan wang tunai dengan serta merta. Pada masa sama, pembekal berkaitan minyak masak subsidi turut membuat tuntutan bayaran subsidi daripada Kerajaan,” katanya lagi.

Fuziah berkata, bermula 1 Januari 2023, KPDN mewajibkan penggunaan sistem eCOSS bagi merekodkan transaksi seperti kuantiti dan harga jualan di setiap peringkat rantaian pengedaran iaitu bermula kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong dan peruncit.

Beliau berkata, tindakan tegas termasuk membuat sekatan terhadap syarikat di dalam sistem eCOSS akan diambil sekiranya didapati ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menyorok dan menyeleweng bekalan minyak masak paket bersubsidi.

Show More

Related Articles

Back to top button