BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPDN laksana Op Kesan 5.0, pantau dan kekang pencatutan

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan Op Kesan 5.0 bermula 1 Januari lalu bagi memantau dan mengekang aktiviti pencatutan.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, operasi tersebut digerakkan sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) Fasa 2 yang turut berkuat kuasa bermula 1 Januari 2026.

“Pendekatan yang digerakkan dalam pelaksanaan OP KESAN 5.0 adalah melaksanakan proses pengumpulan data harga dan caj perkhidmatan yang telah bermula pada 1 Julai 2025. Data ini akan dijadikan asas perbandingan harga dan caj perkhidmatan sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA.

“Mengguna pakai data-data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN yang meliputi sebanyak 316 item sebagai panduan pemantauan sebarang pergerakan harga”, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, KPDN turut memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan penyertaan awam sejajar dengan pelaksanaan KITA GEMPUR bagi membasmi manipulasi dan ketirisan.

“Prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan ditetapkan bagi memastikan tindakan susulan penguatkuasaan dijalankan dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

“Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat melalui saluran seperti WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, call centre 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN,” katanya.

Datuk Azman berkata pelaksanaan OPS KESAN 5.0 diharap dapat mengesan mana-mana pihak yang menaikkan harga dengan tujuan mengaut keuntungan berlebihan dan mengekang aktiviti pencatutan harga susulan pelarasan gaji penjawat awam melalui SSPA Fasa 2 yang telah berkuat kuasa.

Peniaga individu yang disabitkan kesalahan melakukan pencatutan boleh didenda sehingga RM100,000.00 atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi syarikat, denda sehingga RM500,000.00 boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button