BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPDN tahan lima warga asing, rampas 4,168 kg minyak masak bernilai RM40,000

SEMENYIH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan RM40,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di Taman Semenyih Jaya, di sini semalam.

Serbuan yang dilaksanakan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya sekitar pukul 4 petang itu adalah hasil risikan selama tiga bulan sebelum operasi dilancarkan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pemeriksaan awal di lokasi mendapati premis tersebut yang sepatutnya digunakan bagi aktiviti pembinaan telah dijadikan stor haram untuk kegiatan pemindahan minyak masak bersubsidi.

Sebanyak 4,168 paket minyak masak bersubsidi satu kilogram ditemui di premis tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut dijadikan tempat untuk memotong bungkusan minyak masak paket bersubsidi  satu kilogram (kg) sebelum dipindahkan ke dalam tangki jenis intermediate bulk container (IBC) dipercayai untuk dijual semula kepada pihak industri.

“Dalam operasi tersebut, pasukan serbuan berjaya menemukan empat unit tangki IBC berisi minyak masak serta sejumlah kotak dan plastik minyak masak paket yang telah dipotong.

“Sebanyak 4,168 kg minyak masak bersama beberapa peralatan berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Tambahnya, KPDN turut menahan enam individu lelaki bagi membantu siasatan, termasuk seorang warganegara Malaysia dan lima warganegara asing yang berusia dalam lingkungan 30-an. Kesemua mereka dipercayai pekerja di premis terbabit.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan,” ujarnya.

Paket minyak masak yang telah dikosongkan, dipercayai untuk dijual semula kepada industri.

Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya. Syarikat yang terlibat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM5 juta.

Selain itu, syarikat yang terlibat juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613].

Jika disabitkan kesalahan di bawah akta ini, mereka boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan dikenakan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi.

Menurut Azman lagi, sejak 1 Januari 2024 hingga 28 Februari 2025, sebanyak 94 kes berkaitan penyelewengan minyak masak telah dihasilkan di seluruh negara di bawah Ops Tiris 3.0.

“Dalam tempoh ini, sebanyak 104,447 kg minyak masak bernilai RM109,000 telah berjaya dirampas. Serbuan ini adalah sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR yang dilancarkan pada 19 Oktober 2024 untuk membanteras ketirisan serta manipulasi dalam perniagaan melibatkan barang kawalan dan bersubsidi,” katanya.

KPDN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi agar menyalurkan aduan menerusi saluran berikut:

* WhatsApp 019-848 8000
* Portal e-Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my
* Call Centre: 1-800-886-800
* Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button