Pegawai kadet UPNM ditekap seterika: Hanya bergurau, bukan balas dendam
KUALA LUMPUR – Siasatan polis terhadap kejadian seorang pegawai kadet di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini, ditekap seterika pada 22 Oktober lalu berpunca daripada gurauan secara keterlaluan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, siasatan mendapati tidak terdapat unsur dendam dan pergaduhan dalam kejadian itu.
“Sebaliknya, kejadian berlaku tanpa motif apabila suspek bertanya kepada mangsa sama ada pernah cuba atau tidak (seterika) yang panas.
“Tiada motif sebenarnya, tidak ada dendam, pergaduhan atau buli. Hanya bergurau, nak kata ‘ragging’ tak juga, itu bukan ‘ragging’. Bila ada benda-benda berbahaya ni seperti senjata atau barang panas jangan sesekali bermain (bergurau), ini kali pertama mangsa kena,” katanya memetik laporan Sinar Online.
Terdahulu, Rusdi merasmikan program pendekatan kesedaran kes jenayah seksual dan penipuan dalam talian.
Menurutnya, kertas siasatan berhubung kejadian itu juga sudah diserahkan Jabatan Peguam Negara dan pihaknya sedang menunggu arahan lanjut.
“Polis telah merakam percakapan 16 individu termasuk pegawai kadet yang ditekap dan yang menekap seterika, rakan sebilik, jurulatih dan perakam video.
“Kami sudah melengkapkan siasatan namun masih menunggu laporan perubatan yang dijalankan ke atas pegawai kadet terbabit,” katanya.
Mengulas berhubung tiada tangkapan dilakukan, Rusdi berkata, tiada keperluan tangkapan dilakukan kerana pihaknya sudah memperoleh bahan bukti dan keterangan daripada semua yang terbabit.
“Ia bergantung kepada kes, tangkapan dalam apa-apa sahaja siasatan tidak semestinya ditangkap pada masa itu, boleh juga ditangkap dan terus tuduh di mahkamah,” katanya.