Enam rakyat Malaysia termasuk artis wanita ditahan di Sungai Golok positif dadah
KOTA BHARU – Enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita yang ditahan di selatan Thailand, Jumaat lalu disahkan positif dadah.
Menurut jurucakap polis Thailand, enam individu termasuk tiga wanita itu akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat, hari ini untuk mendapatkan perintah reman selepas ditahan di lokap polis Sungai Golok.
“Mereka akan dihantar ke mahkamah di Narathiwat yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Sungai Golok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan oleh polis Thailand,” katanya.
Tambahnya, keenam-enam mereka dijangka akan didakwa bersama kerana memiliki 6,000 pil kuda itu, namun siasatan masih diteruskan.
“Dua wanita lain juga akan didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis dikir barat wanita ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand.
Kesemua mereka berusia 25 hingga 32 tahun ditahan kira-kira 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.
Tangkapan enam individu membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan itu menemui 6,000 biji pil kuda.