Pesara polis wanita positif dadah ditahan
REMBAU – Seorang pesara polis wanita ditahan di Jalan Bukit Beruang, Melaka kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin selepas dikejar hampir 50 kilometer (km).
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu wanita terbabit berjaya menemukan empat pil disyaki jenis ekstasi.
Pemeriksaan ke atas wanita berusia 65 tahun itu turut mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine.
“Ketika anggota MPV kami sedang menjalankan tugas ronda pada jam 10.30 malam, mereka terima arahan supaya ke Taman Sedia Raja, di sini, kerana sebuah kereta jenis Honda City berwarna hitam dikatakan melanggar kenderaan lain dan melarikan diri.
“MPV kemudiannya terserempak dengan kereta itu lalu cuba memberhentikannya, namun suspek enggan memberi kerjasama lalu memecut ke arah Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Azmi berkata, dengan kerjasama anggota ronda Balai Polis Kota dan anggota MPV Alor Gajah serta anggota MPV Melaka Tengah akhirnya kenderaan suspek berjaya ditahan di Jalan Bukit Beruang, Melaka.
“Pemeriksaan di tubuh badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah. Seterusnya dengan disaksikan suspek, polis menjalankan pemeriksaan di dalam keretanya dan menjumpai satu beg yang mengandungi sepaket plastik lutsinar berisi empat pil disyaki dadah jenis ekstasi,” katanya.
Azmi berkata, seterusnya pihaknya menerima laporan kemalangan jalan raya membabitkan kereta suspek dengan van jenis Toyota Hiace dan kereta jenis Perodua Viva di daerah Rembau.
“Tiada sebarang kecederaan dialami kedua-dua pengadu dalam kemalangan itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Rule LN 166/59,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







