KOTA BHARU – Polis Thailand dilaporkan menahan enam rakyat Malaysia termasuk seorang artis wanita di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand, awal pagi semalam selepas disyaki memiliki dadah jenis pil kuda.
Menurut BH Online, kesemua mereka termasuk tiga wanita yang berasal dari Kelantan dan berusia antara 25 hingga 32 tahun itu ditahan pada pukul 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik.
Laporan itu memberitahu, ketika ditahan, polis Thailand turut merampas 6,000 biji pil kuda.
Dua daripada mereka difahamkan masuk ke negara jiran itu menggunakan pengkalan haram manakala bakinya menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
Mereka dikatakan ke hotel berkenaan untuk berhibur sempena cuti Deepavali.
Sumber memaklumkan ketika serbuan, mereka baru masuk ke bilik selepas berhibur.
“Dua lagi lelaki yang identiti mereka tidak dikenali dan turut berada dalam bilik berkenaan, berjaya melepaskan diri.
“Wanita yang ditahan itu adalah artis tempatan Kelantan,” kata sumber berkenaan sambil mengesahkan semua mereka akan dibawa ke Mahkamah Narathiwat untuk direman.
Selain itu, turut difahamkan polis Kelantan sudah dimaklumkan berhubung penahanan berkenaan.