Berita Semasa

SPRM mulakan siasatan kerugian RM43.9 juta Khazanah, PNB dalam FashionValet

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) difahamkan sudah memulakan siasatan terhadap kerugian pelaburan sebanyak RM43.9 juta oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dalam FashionValet Sdn Bhd (FashionValet).

Laporan portal BH Online memberitahu, siasatan itu dilaksanakan jumlah kerugian yang direkodkan kedua-dua agensi berkaitan kerajaan berkenaan terlalu besar dan membabitkan kepentingan awam.

Laporan tersebut turut memberitahu, difahamkan antara fokus siasatan ketika ini adalah berkaitan pengurusan kewangan dalam pelaburan itu serta unsur-unsur rasuah dalam perniagaan itu.

Kelmarin, PNB dan Khazanah dilapor perlu memberi penjelasan berhubung kerugian pelaburan berjumlah RM43.9 juta yang dialami dua syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) itu dalam FashionValet.

Sementara itu, usahawan fesyen, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar dalam satu kenyataan bersama yang dimuat naik menerusi akaun Instagram malam tadi berkata, mereka akan melepaskan jawatan mereka dalam platform e-dagang itu.

Difahamkan, ketetapan itu dibuat susulan isu terkini membabitkan penjualan saham PNB dan Khazanah dalam syarikat itu.

Mereka turut memohon maaf susulan kontroversi berkenaan yang menjejaskan PNB dan Khazanah.

Vivy dan Fadzaruddin juga mengakui tidak memiliki perancangan mencukupi untuk FashionValet berdepan risiko cabaran ketika cuba mengembangkan perniagaan secara agresif.

Mereka mengakui melakukan kesilapan dengan mengembangkan perniagaan berdasarkan jangkaan pertumbuhan berterusan, biarpun ketika pandemik COVID-19.

Show More

Related Articles

Back to top button