SPRM sokong usaha KPKT perkukuh integriti PBT
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memasukkan elemen antirasuah dalam sistem penilaian Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bermula tahun ini.
SPRM dalam kenyataannya hari ini yakin inisiatif itu akan mempertingkatkan ketelusan dalam prestasi PBT selepas laporan media melaporkan 12 PBT mengalami penurunan taraf dalam Sistem Penarafan Bintang (SPB-PBT) selepas elemen antirasuah dimasukkan dalam sistem penilaian tersebut.
“Langkah ini penting untuk memperkukuh integriti, tadbir urus, dan tata kelola demi merealisasikan sistem perkhidmatan awam yang cekap, bersih, dan berkesan.
“Sehubungan itu, SPRM bersedia memberi sokongan dari segi khidmat nasihat dan latihan bagi memastikan penubuhan Unit Integriti di setiap 156 PBT di seluruh negara terlaksana.
“Ini selaras dengan keperluan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (PPSM) Ceraian 1.2.1: Penubuhan Unit Integriti (UI) di semua Sektor Awam seperti disarankan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS),” katanya.
SPRM berkata, setakat ini, hanya 49 PBT telah menubuhkan Unit Integriti masing-masing.
“SPRM menggesa penubuhan Unit Integriti di setiap PBT diberikan keutamaan.
“Unit ini penting untuk membendung salah laku jenayah serta pelanggaran tatakelakuan dan etika di peringkat agensi.
Bagi tujuan itu katanya, Unit Integriti perlu melaksanakan enam Fungsi Teras UI dengan berkesan iaitu Tadbir Urus; Pengukuhan Integriti; Pengesanan dan Pengesahan; Pengurusan Aduan; Pematuhan; dan Tatatertib.
Dalam hal itu katanya, Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA) SPRM akan membantu menyelaras pelaksanaan fungsi UI di samping menyediakan dasar dan mekanisme pengurusan UI bagi agensiagensi awam.
Sementarai tu, Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), sebuah institusi bertaraf antarabangsa di bawah SPRM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan program latihan berkaitan pencegahan rasuah dan integriti.