KPDN kesan 140 kes tipu logo, pensijilan halal sejak 2022
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan sebanyak 140 kes penipuan logo halal dan pensijilan halal membabitkan lebih RM3.60 juta sejak 2022 hingga bulan ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kesalahan itu tertakluk di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, dan pihaknya sentiasa memberi perhatian serius berhubung isu ini.
“Sepanjang tempoh 2022 hingga Oktober 2024, sebanyak 140 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM3,598,817 yang melibatkan premis pemilikan orang Islam dan bukan Islam,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, hari ini.
Jawapan bertulis berkenaan adalah bagi menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN- Hulu Terengganu) mengenai jumlah kes penipuan logo halal dan pensijilan halal terutama dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman bukan Islam bagi tempoh 2022 hingga Oktober 2024.
Mengulas lanjut, Armizan berkata, pihaknya mengambil tindakan termasuk bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk memperkemaskan penguatkuasaan halal dalam usaha membendung isu berkenaan.
“Membuat hebahan umum mengenai pematuhan perundangan halal melalui media sosial rasmi kementerian dan menerbitkan kenyataan media.
“Menjalankan pemeriksaan halal secara berkala di pasar raya, restoran dan kilang pemprosesan, di samping memberi khidmat nasihat mengenai perundangan.
“Selain itu, mengadakan operasi khas berkaitan halal secara bersepadu dengan agensi kerajaan di seluruh negara,” katanya lagi.