Bisnes & Ekonomi

Planworth terima pengiktirafan Anugerah Enterprise 50 (E50)

KUALA LUMPUR – Syarikat solusi modal kerja dan perkhidmatan kewangan, Planworth baru-baru ini menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) sebagai pengiktirafan dalam sumbangan cemerlang syarikat itu dalam usaha pembangunan ekonomi negara.

Anugerah berprestij disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ramanan Ramakrishnan dalam satu majlis yang berlangsung pada Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy berkata, anugerah tersebut merupakan penghargaan terbesar kepada usaha syarikatnya dalam penyediaan pembiayaan kewangan dan memacu perkembangan syarikat-syarikat untuk terus berkembang maju.

Katanya, penganugerahan E50 itu secara tidak langsung turut mengukuhkan jenama Planworth di pasaran dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan kewangan yang ditawarkan.

Syarikat Planworth menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) yang disampaikan oleh Ramanan Ramakrishnan, baru-baru ini.

“Planworth sentiasa berpegang kepada prinsip untuk sentiasa memberi bantuan kepada pelanggan yang memerlukan aliran tunai lebih lancar untuk mengecapi kejayaan bersama sekaligus mengembangkan potensi perniagaan.

“Kami tidak mengejar sebarang anugerah tetapi apa yang lebih penting adalah untuk dapat mengukuhkan ekonomi sesebuah syarikat seterusnya memberi peluang kepada lebih ramai orang mendapat pekerjaan,” katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Andy berkata, pada tahun lalu Planworth mengeluarkan pembiayaan kewangan sebanyak RM500 juta dan mensasarkan peningkatan kepada RM700 juta pada tahun ini.

Tambahnya, secara keseluruhan sejak ditubuhkan, Planworth telah menyuntik pelaburan mencecah RM2 bilion dan bakal menjangkau RM3 bilion bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam kalangan syarikat kecil dan sederhana.

“Selain bantuan kewangan, kami turut memberi khidmat nasihat kepada usahawan agar mereka dapat mengembangkan perniagaan dan menguruskan aliran tunai dengan baik,” katanya.

Andy berkata, pihaknya berharap pengiktirafan terkini itu akan dapat menjadi daya perangsang untuk syarikatnya terus berkembang menjadi yang terbaik di rantau ini.

Planworth menyediakan Solusi Modal Kerja melalui pembiayaan invois (invoice financing), pembiayaan belian (purchase order), pengurusan modal kerja (working capital), pinjaman berjangka (term loan), kredit pusingan (revolving credit), pengurusan penghutang (trade receivables) secara konvensional dan Islamik untuk bisnes perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada kerajaan (B2G).

Show More

Related Articles

Back to top button