BERITA SEMASA

Penggantungan Pengurus Besar NAFAS tidak boleh dikuatkuasakan – Pendaftar Pertubuhan Peladang

KUALA LUMPUR – Penggantungan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) tidak boleh dikuatkuasakan sehingga satu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan Pendaftar Pertubuhan Peladang.

Menurut Pendaftar Pertubuhan Peladang, sebarang aduan dan dakwaan ke atas Pengurus Besar NAFAS hendaklah dirujuk terlebih dahulu kepada Pendaftar Pertubuhan Peladang.

Katanya, ia adalah berdasarkan peraturan yang termaktub dalam Seksyen 7(1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 [Akta 109].

“Pendaftar Pertubuhan Peladang belum menerima sebarang laporan rasmi berkaitan penggantungan tugas Pengurus Besar NAFAS daripada Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS.

“Justeru itu, keputusan Mesyuarat Jemaah Pengarah NAFAS berkaitan penggantungan Pengurus Besar tidak boleh dikuatkuasakan sehingga suatu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh Pendaftar,” kata Pendaftar Pertubuhan Peladang dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, media melaporkan, barisan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS yang diketuai Datuk Zamri Yaakob bertindak menggantung tugas Pengurus Besarnya, Muhammad Faris Arriffin atas dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu.

Katanya, ia adalah susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait dengan kewangan NAFAS yang merupakan dana milik ahli dalam pergerakan itu.

Mesyuarat Ahli Jemaah Pengarah juga memutuskan untuk menggantung tugas Pengurus Besar dan membentuk satu pasukan khas bagi menyiasat secara terperinci pelanggaran tatakelola serta meneliti setiap penemuan dan laporan berkaitan perkara tersebut.

Mengulas lanjut, Pendaftar Pertubuhan Peladang menyifatkan tindakan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS yang mengeluarkan kenyataan media tersebut adalah tidak wajar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button