Berita SemasaLuar Negara

Malaysia kecam pembunuhan Yahya Sinwar, sifatkan kegagalan komuniti antarabangsa

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyatakan kekesalan terhadap kegagalan komuniti antarabangsa dalam memperjuangkan keamanan di bumi Palestin.

Beliau menzahirkan kekecewaannya dalam ucapan takziah terhadap pemimpin Hamas, Yahya Sinwar yang meninggal dunia akibat dibunuh tentera rejim Zionis dalam serangan di Selatan Gaza, Khamis lalu.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia berduka atas kehilangan seorang sosok pejuang dan pembela rakyat Palestin itu.

“Sekali lagi komuniti antarabangsa gagal memperjuang serta memastikan keamanan dan keadilan tertegak lantas memburuk situasi konflik.

“Malaysia mengutuk keras pembunuhan ini dan ternyata percubaan rejim untuk melemahkan tuntutan pembebasan tidak akan berjaya,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia mendesak agar kebiadaban Israel disanggah komuniti antarabangsa dan pembantaian berterusan warga Palestin mesti segera dihentikan.

Pada Khamis, Yahya Sinwar dilaporkan terbunuh bersama dua lagi individu yang tidak didedahkan identiti.

Israel dalam kenyataannya mendesak Hamas membebaskan tahanan mereka sebagai pertukaran jasad Yahya Sinwar.

Show More

Related Articles

Back to top button