Jenayah & Mahkamah

Peniaga lemang pukul pelanggan ditahan polis

MELAKA – Peniaga lemang yang bertindak memukul pelanggan selepas dituduh menjual lemang tidak masak di Jalan Bukit Beruang Utama di sini ditahan polis selepas video rakaman suspek memukul pelanggan tular kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata,  suspek berusia 41 tahun itu ditahan di tepi Jalan Kota di sini pada pukul 12.05 tengah malam oleh sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Melaka Tengah.

Christopher berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang merupakan seorang pesara tentera pada pukul 8. 25 malam, kelmarin.

“Mangsa yang merupakan pesara tentera berusia 61 tahun dikatakan telah membeli lemang Jalan Bukit Beruang Utama untuk dijadikan juadah berbuka puasa, namun setelah membelah lemang tersebut dia mendapati ia tidak masak.

“Mangsa kemudian telah pergi semula ke gerai terbabit untuk menukar lemang yang dibawanya di dalam bekas tetapi peniaga tersebut dikatakan enggan melihat, sebaliknya membelah salah satu lemang yang dibeli mangsa bagi menunjukan lemang tersebut masak sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Dalam video yang tular semalam, seorang lelaki bertindak memukul pelanggan selepas pelanggan menuduh suspek menjual lemang tidak masak.

Suspek yang berang selepas dituduh pelanggan dipercayai memukul mangsa menggunakan buluh lemang menyebabkan kecederaan pada bahagian telinga dan tangan.

Christopher berkata, suspek telah ditahan dan rampasan barang kes dilakukan bagi melengkapkan kertas siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Suspek mengaku terlibat dalam kes tersebut dan mendakwa mangsa menuduhkan menjual lemang yang tidak dimasak serta merakamkan video dengan niat menularkan kejadian tersebut.

“Mangsa juga telah membaling sebekas lemang yang dikatakan dibeli di kedai terbabit, menyebabkan suspek berang,” katanya.

Katanya, rakaman percakapan terhadap suspek telah diambil sebelum dibebaskan dengan jaminan polis dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Show More

Related Articles

Back to top button