Berita Semasa

Belanjawan 2025: KKDW terima peruntukan RM11.96 bilion, peningkatan 3.51 peratus – TPM

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peruntukan sebanyak RM11.96 bilion kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Beliau berkata, peruntukan itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM405.27 juta atau 3.51 peratus berbanding tahun lalu.

“Daripada jumlah ini, RM4.47 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM7.49 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

“Peruntukan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh agenda Desa Madani dan seterusnya memberikan manfaat kepada seluruh 8.1 juta penduduk desa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, kerajaan turut meningkatkan peruntukan kepada FELDA, FELCRA, dan RISDA kepada RM2.6 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, ini membuktikan komitmen tinggi terhadap pembangunan sektor pertanian dan komuniti perdesaan.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, peruntukan tambahan kepada RM7.5 bilion daripada RM6.8 bilion ada bukti komitmen kerajaan bagi memperkasa ekosistem TVET khususnya dalam menjalinkan kerjasama dengan industri, menyediakan peluang kepada belia, komuniti pedalaman dan Orang Asli.

“Masyarakat Orang Asli juga terus diberi perhatian di bawah Belanjawan Madani, dengan peruntukan meningkat kepada hampir RM380 juta berbanding RM330 juta pada tahun lalu.

“Usaha ini merangkumi projek pembangunan semula ladang Orang Asli serta pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Sementara itu katanya, dalam usaha menghadapi cabaran bencana, hampir RM600 juta diperuntukkan kepada NADMA untuk persediaan menghadapi banjir.

Ujarnya, daripada jumlah itu, lebih RM300 juta telah diperuntukkan untuk tindakan segera sekiranya berlaku bencana.

Tambahan lagi, katanya, kerajaan telah menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta dan merancang 12 lagi projek RTB dengan kos RM3 bilion.

Selain itu, katanya, bagi menyokong sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, RM550 juta disediakan untuk mempromosikan destinasi pelancongan.

“RM600 juta turut diperuntukkan bagi memelihara warisan budaya dengan menyalurkan RM600 juta bagi memulih dan memulihkan bangunan ikonik seperti Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara.

“Melalui perancangan dan komitmen yang jelas dan terangkum, Belanjawan 2025 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pemulihan ekonomi, tetapi juga memastikan kesejahteraan rakyat terus dipelihara.

“Peruntukan yang diberikan kepada KKDW, agensi-agensi di bawahnya dan bidang di bawah kebertanggungjawaban saya akan digunakan sebaiknya untuk memperkukuh pembangunan luar bandar dan memakmurkan kehidupan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button