Berita Semasa

Helikopter AW149 dipilih gantikan Nuri

KUALA LUMPUR – Helikopter Leonardo AW149 yang dipilih menggantikan Sikorsky S-61 atau Nuri bagi kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) adalah daripada varian ketenteraan dan memenuhi spesifikasi yang digariskan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter AW149 yang akan diterima itu adalah berbeza sama sekali daripada yang digunakan untuk tujuan awam.

“Jika kita memilih jenis helikopter yang berbeza, kita mungkin perlu membelanjakan lebih banyak. Selain itu, kos operasi helikopter Leonardo AW149 berkemungkinan lebih rendah berbanding helikopter jenis lain.”

“Jadi, pertimbangan yang perlu telah dibuat, dan di pihak kami, TUDM tiada masalah mengenainya,” katanya menurut portal Defense Services Asia.

Tambahnya, helikopter tersebut dipilih berdasarkan kemampuannya untuk melaksanakan tiga peranan utama iaitu Mencari dan Menyelamat (SAR), Mencari dan Menyelamat Tempur (CSAR), dan misi utiliti.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman mengumumkan rancangan untuk memperoleh helikopter baharu TUDM bagi menggantikan Nuri melibatkan pembelian berperingkat sebanyak 24 helikopter.

Difahamkan, Fasa 1 pembelian melibatkan 12 helikopter CSAR yang berkapasiti utiliti, diikuti Fasa 2 dengan perolehan 12 helikopter tambahan.

Helikopter AW149 adalah helikopter bersaiz sederhana pelbagai peranan generasi terkini, yang dilengkapi dengan gabungan teknologi moden, peralatan, dan persenjataan.

Mempunyai berat maksimum 8,600kg, helikopter tersebut dikuasakan oleh dua enjin, sama ada 2xGeneral Electric CT7-2E1 atau 2xSafran Aneto-1K.

Pesawat tersebut berupaya membawa antara 16 hingga 19 anggota tentera, terbang pada kelajuan 294 kilometer sejam (km/j), merentasi jarak 1,000 km, dan beroperasi sehingga 5 jam.

Show More

Related Articles

Back to top button