30 peserta sertai bengkel hasilkan beg hiasan
KUALA LANGAT – Seramai 30 peserta wanita menghadiri bengkel kraftangan hiasan beg jute decoupage yang diadakan di Balai Raya Labohan Dagang, Banting di sini hari ini.
Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 21 Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Nur Zairina Muzaini berkata, bengkel itu merupakan sebahagian daripada usaha pihaknya bagi memperkasakan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam kalangan wanita.
“Bengkel ini juga bertujuan untuk memberi kemahiran tambahan kepada mereka.
“Dengan kemahiran yang diperoleh melalui bengkel ini, diharapkan para peserta dapat memanfaatkannya untuk meningkatkan pendapatan keluarga serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi setempat,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Nur Zairina berkata, untuk bengkel kali ini pihaknya mendapat kerjasama dengan Rohana Othman yang terkenal menghasilkan pelbagai jenis barangan kraftangan.
Sementara itu, Nur Zairina turut menyatakan komitmennya untuk terus menyediakan platform sebegini bagi membantu lebih ramai wanita memajukan diri melalui kemahiran yang praktikal dan berpotensi.