Ulang Tahun Yang Dipertua Negeri Sabah, lebih 1,300 terima anugerah
KOTA KINABALU – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengetuai senarai 1,376 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan sempena Sambutan Ulang Tahun Rasmi ke-71 Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin akan berlangsung esok.
Abang Johari adalah antara empat penerima anugerah tertinggi negeri Sabah, Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK), yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Turut menerima anugerah SPDK ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta ahli perniagaan, Datuk Kumar Prabakaran.
Sementara itu, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Peto Galim dan Pembantu Menteri Kewangan negeri, Tan Lee Fatt termasuk dalam 87 penerima Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk. Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) seperti ADUN Kukusan, Rina Jainal; ADUN Tanjong Kapor, Chong Chen Bin; ADUN Banggi, Mohammad Mohamarin dan ADUN Dilantik, Dr Aliakbar Gulasan turut menerima PGDK.
Antara penerima PGDK yang lain ialah Panglima 5 Briged, Brigadier Jeneral Mohd Zamri Abdullah; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, SAC Saiman Kasran dan Ketua JPJKK Kontinjen Sabah, SAC Mohd Azhar Hamin.
Ketua Hakim Syarie Sabah, Ahadin Arinen; Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Josie Lai Mei Sing serta Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Philemon Lajawai turut menerima pengiktirafan PGDK.
Pengamal media juga tidak terkecuali dengan Ketua Pengarang The Borneo Post Sabah, Datuk Chiew Nai Wen dan Penulis Berita Kanan The Star, Philip Golingai menerima anugerah yang sama.
Bagi kategori Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), seramai 116 penerima termasuk Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, dianugerahkan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Dr Joachim Gunsalam; dan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah, Datuk Kassim Mansor, pula antara 10 penerima Jaksa Pendamai (JP).
Sebanyak 274 individu dianugerahkan Ahli Darjah Kinabalu (ADK), 320 penerima Bintang Setia Kinabalu (BSK), 421 menerima Bintang Kinabalu (BK), dan 144 individu menerima Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) dalam majlis penganugerahan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








