Sarawak umum AirBorneo ganti MASwings
KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan penubuhan syarikat penerbangan baharu negeri itu yang akan dikenali sebagai AirBorneo.
Abang Johari berkata, syarikat tersebut akan mewujudkan keseimbangan antara keterhubungan, tambang berpatutan, dan manfaat ekonomi.
“Sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), ia mampu menawarkan pengalaman penerbangan lebih unggul kepada penumpang,” katanya.
Terdahulu, beliau hadir pada majlis Perjanjian Jual Beli (SPA) antara kerajaan Sarawak dan Malaysia Aviation Group (MAG) yang memuktamadkan pengambilalihan MASwings oleh kerajaan negeri Sarawak.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Perjanjian tersebut ditandatangani Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohammad Abu Bakar Marzuki mewakili kerajaan negeri, yang juga merupakan Pengerusi AirBorneo, sementara Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, mewakili MAG.
Abang Johari seterusnya berkata, AirBorneo akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan keterhubungan Sarawak, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“AirBorneo akan terus memberi fokus kepada Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) serta secara berperingkat memperluaskan destinasi dalam radius penerbangan empat jam sebelum berkembang lebih jauh bergantung kepada permintaan pasaran pelancongan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







