BERITA SEMASA

Premier Sarawak terima anugerah The Order of the Rising Sun

KUCHING – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima anugerah pingat The Order of The Rising Sun daripada kerajaan Jepun sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau memperkukuh hubungan antara Jepun dan Malaysia.

Menurut Kedutaan Jepun, Abang Johari merupakan antara penerima Autumn Imperial Decorations 2025 yang diumum kerajaan mereka.

“Penganugerahan itu sebagai menghargai usaha luar biasa beliau dalam menggalakkan pertukaran serantau dan persefahaman antara Jepun dan Malaysia,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, Abang Johari memainkan peranan penting dalam memajukan kerjasama ekonomi dan tenaga antara Jepun dan Sarawak, khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu seperti hidrogen dan amonia.

“Di bawah kepimpinan beliau, Sarawak memperkukuh kerjasama dengan syarikat-syarikat terkemuka Jepun, menyumbang kepada peralihan tenaga Jepun dan keselamatan tenaga jangka panjang melalui pembekalan gas asli cecair (LNG) yang stabil,” katanya.

Selain itu, Abang Johari turut memainkan peranan utama dalam menggalakkan kerjasama alam sekitar yang membabitkan universiti dan organisasi dari Jepun dengan menumpukan kepada projek pemuliharaan hutan dan pemeliharaan biodiversiti.

Selain kerjasama dalam sektor ekonomi dan alam sekitar, beliau juga secara aktif menyokong pertukaran akademik dan belia yang mengukuhkan persefahaman antara Jepun dan Sarawak.

“Dedikasi dan kepimpinan beliau memberikan impak yang berkekalan terhadap persahabatan dan kerjasama antara Jepun dan Malaysia,” menurut kenyataan kedutaan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button