Keputusan batal rombongan 68 pegawai kerajaan ke Berlin dapat sokongan penuh Kabinet – PM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan keputusan membatalkan perancangan agensi kerajaan untuk membawa 68 pegawai ke satu pameran di Berlin mendapat sokongan penuh Kabinet.
Perdana Menteri berkata, sepanjang dua tahun mengemudi pentadbiran negara, belum ada mana-mana pimpinan politik yang mempersoalkan keputusannya berhubung tatakelola.
“Setakat dua tahun ini saya dengan pasukan dalam Kerajaan Perpaduan, belum ada sekali mana-mana menteri atau pimpinan yang mempertikai keputusan kita iaitu pertama, projek mesti tender, jangan bagi kebocoran.
“Baru-baru ini saya terjah satu agensi kerajaan (yang mahu) hantar 68 orang ke pesta di Berlin, saya dapat sokongan penuh daripada Kabinet. Ini pertama kali dalam sejarah Perdana Menteri kata tak payah pergi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, malam tadi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
FIM merupakan inisiatif yang diilhamkan oleh Anwar sebagai platform menghimpunkan ahli akademik, tokoh industri dan pemimpin masyarakat pelbagai latar belakang bagi membincangkan pelbagai isu yang dihadapi rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan agar amalan tersebut tidak diteruskan pada masa hadapan.
“Kenapa saya perlu buat? Sebab rakan saya seperjuangan bagi sokongan penuh. Menteri nak pergi juga kami kawal,” katanya sambil mengingatkan Jemaah Menteri agar tidak terikat dengan kepompong pemikiran lama.
Perdana Menteri berkata, adalah penting agar Jemaah Menteri menyuntik idea baharu dan mengambil pendekatan tidak terlalu selesa.
“Kita mesti meneroka disiplin baharu termasuk digitalisasi, kecerdasan buatan (AI), kejuruteraan dan matematik,” katanya lagi.