Berita SemasaDalam Negeri

21 usahawan veteran ATM di Kelantan terima geran SPKLB

KOTA BHARU – Kementerian Pertahanan (MINDEF) baru-baru ini menyalurkan geran Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) bernilai RM105,000 kepada 21 usahawan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terlibat dalam perniagaan berasaskan perkhidmatan, makanan, penternakan dan pertanian di negeri ini.

Majlis yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) itu merupakan majlis yang diadakan buat julung kalinya di negeri ini.

MINDEF dalam satu kenyataan di media sosial rasminya berkata, sehingga kini seramai 119 usahawan veteran ATM telah menerima geran SPKLB dengan nilai keseluruhan berjumlah RM595,000.00.

“MINDEF melalui Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) melaksanakan inisiatif ini yang memfokuskan kepada pemerkasaan veteran dalam kerjaya kedua khususnya usahawan veteran dalam kelompok B40 untuk meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Hadir sama Pemangku Ketua Pengarah PERHEBAT, Kapt. Mohd Radzi Mohd Ali TUDM (Bersara) dan Panglima 8 Briged, Brig. Jeneral Muzamil Ali.

Adly Zahari menyerahkan geran SPKLB kepada usahawan veteran ATM dalam malis Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di Kelantan, baru-baru ini.
Adly Zahari melihat produk-produk keluaran veteran ATM pada Program Pemerkasaan Usahawan Veteran ATM (PUVET ATM) di Kelantan, baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, Adly dalam ucapannya mahu golongan veteran tampil lebih radikal, progresif dan inovatif dalam melonjakkan perniagaan mereka di samping memanfaatkan segala inisiatif yang disediakan kerajaan untuk kekal mapan dan mampan.

PUVET ATM berperanan sebagai Pemudahcara dan Penghubung untuk mengenal pasti dan menyalurkan insentif keusahawanan yang merangkumi khidmat kepakaran, fasiliti, geran dan latihan yang diperlukan oleh Usahawan Veteran ATM untuk memajukan perniagaan mereka.

PUVET ATM mendapat sokongan penuh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Kementerian Ekonomi.

“Kolaborasi ini amat penting agar manfaatnya dapat dinikmati dengan lebih bersasar oleh kelompok veteran,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button