PruBSN lancar pelan Takaful PruBSN AnugerahMax serendah RM50
KUALA LUMPUR – Bagi memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah, PruBSN melancarkan PruBSN AnugerahMax, sebuah pelan takaful baharu yang komprehensif, dengan perlindungan menyeluruh, bermula serendah RM50 setiap bulan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN), Wan Saifulrizal Wan Ismail, pelan ini boleh diubah suai dengan 18 jenis ‘rider’ pilihan.
Jelas Wan Saifulrizal, pelan tersebut menawarkan perlindungan penyakit kritikal dan perubatan yang lengkap, perlindungan kemalangan, peluang pelaburan, serta pilihan kebajikan.
“Memiliki pelan insurans yang komprehensif boleh dianggap sebagai satu keperluan pada masa ini berikutan peningkatan kadar penyakit kronik di kalangan belia serta kenaikan kos rawatan perubatan.
“Penyakit-penyakit kronik boleh menimpa sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia. Statistik ini amat membimbangkan, disusuli dengan perbelanjaan penjagaan kesihatan peribadi yang dijangka akan berganda menjelang tahun 2028,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan ini, Wan Saifulrizal percaya, setiap individu berhak mendapatkan akses kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan yang terbaik serta jaminan kewangan yang diperlukan untuk menampung kenaikan perbelanjaan dan kos perubatan.
“Matlamat dan tanggungjawab ini sangat dekat di hati saya sendiri sebagai ibu bapa yang mahukan terbaik untuk masa depan anak-anak.
“Sebagai ibu bapa, kita semestinya inginkan yang terbaik untuk anak-anak khususnya dalam memastikan mereka mendapat perlindungan serta jaminan masa depan yang lebih baik,” tambahnya.
Menariknya, PruBSN AnugerahMax menawarkan pelan tambahan rider Medic TotalCare yang memberikan perlindungan menyeluruh kemasukan ke hospital, rawatan kanser yang moden, serta keperluan penjagaan kesihatan mental.
Bagi perlindungan penambahan rider Crisis TotalCare pula, ia dilanjurkan kepada 166 penyakit kritikal, dari peringkat awal hingga akhir, termasuk beberapa kondisi kesihatan mental.
Pelan ini memberikan perlindungan menyeluruh termasuk penjagaan perubatan, penyakit kritikal, serta perlindungan kemalangan yang patuh Syariah.
Ciri pelanjutan automatik pula akan memastikan perlindungan berterusan, dengan melanjutkan perlindungan secara automatik sehingga umur 100 tahun.
Katanya, ia boleh dilakukan tanpa perlu melalui proses pengunderaitan yang baharu, dengan ibu bapa tidak perlu bimbang berikutan perlindungan untuk anak-anak mereka akan berterusan seiring peningkatan usia.
Selain perlindungan perubatan dan kewangan, pelan ini juga memberikan bonus ganjaran untuk anak-anak berumur setahun hingga 18 tahun dengan bonus tunai bagi pencapaian akademik yang cemerlang.
“Ia bermula dari peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hingga ke peringkat Sarjana dan PhD melalui EduAchieve Bonus.
“Ini bukan sahaja menggalakkan kecemerlangan akademik, tetapi juga menyediakan ganjaran tunai yang boleh dilaburkan semula untuk keperluan Pendidikan dan masa depan,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, bagi keseluruhan siri produk PruBSN, lebih 400 individu telah mendapat perlindungan berjumlah RM 15 juta dengan jumlah tuntutan yang telah dibayar kira-kira hampir RM 1 bilion.