Langkah reformasi pentadbiran awam perlu dilaksana segera – PM Anwar
PM akui tidak puas hati dengan perkembangan terkini usaha reformasi tersebut
PUTRAJAYA – Langkah mereformasikan pentadbiran awam perlu dilaksana segera bagi memastikan segala usaha kerajaan dapat dilakanakan dengan berkesan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui, beliau tidak berpuas hati dengan perkembangan terkini usaha reformasi tersebut.
“Penggabungan agensi dan jabatan, itu belum berlaku dengan memuaskan, pertindihan perjawatan, kadang-kadang yang kurang perlu itu masih belum ditingkat yang memuaskan.
“Laporan daripada ketua jabatan, ketua pengarah, ketua unit mengenai kelembapan, kecuaian beberapa pegawai, itu pun belum di tahap memuaskan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Tegas beliau, langkah reformasi seperti yang diumumkan sebelum ini perlu dilaksana dengan segera.
“Kita mesti melakukan anjakan sebaiknya,”ujar Anwar.
Sehubungan itu, kata Anwar, beliau akan akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz mengenai langkah yang boleh diambil untuk memperbaiki prestasi.