Berita Semasa

Choco Albab hasilkan filem pendek demi pupuk semangat merdeka

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia bukan sahaja untuk diingati tetapi juga perlu dihayati dan dijiwai.

Inisiatif yang diambil oleh pengasas Choco Albab, Said Saiful Fazli Said Aluwi bukan hanya menjadikan beliau seorang yang patriotik tetapi juga berbeza daripada individu lain kerana sanggup mengeluarkan kos untuk menghasilkan filem pendek berjudul “Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar” sebagai tanda penghayatan kemerdekaan negara.

Said berkata, kisah yang dipamerkan dalam filem tersebut berkisarkan mengenai perjalanan beliau dalam menemui nilai persahabatan tanpa mengira batas kaum.

“Saya mahu bawa mesej yang jelas, sewaktu kecil kanak-kanak berkawan dengan sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa dan status, namun kini ia semakin terhakis.

“Filem pendek ini juga bakal tonjolkan mesej kegembiraan yang disemai menerusi persahabatan ini kerana terlalu banyak isu perkauman yang muncul kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu, Choco Albab melancarkan tayangan perdana filem pendek berjudul “Kita Kan Sama: Inspirasi Dari Kisah Sebenar” sempena Hari Kebangsaan ke-67 yang bakal disambut beberapa hari lagi.

Pada masa yang sama, jenama ini turut melancarkan edisi terhad Choco Tub Duriyan Merdeka.

Mengulas lanjut, Said berkata, “Kita Kan Sama” membawa mesej yang kuat tentang pentingnya perpaduan dan kesamaan, serta bagaimana perbezaan budaya dan kaum sepatutnya menjadi kekuatan, bukannya halangan.

“Saya berharap dapat menyampaikan bahawa persahabatan dan kasih sayang adalah unsur yang paling penting dalam membina semangat perpaduan dalam membentuk negara yang bersatu padu.

“Filem pendek ini juga bertujuan untuk mengajak semua rakyat Malaysia merenung kembali nilai-nilai yang telah menyatukan kita semua selama ini,” ujarnya lagi.

Filem ini menyoroti pengalaman peribadi Said yang dibesarkan dalam suasana kampung yang harmoni. 

Sama seperti majoriti kanak-kanak lain di kampungnya, Joe (nama layar) membesar dengan gaya hidup sebagai anak Melayu dan mengamalkan cara hidup sebagai masyarakat Melayu.  

Namun, ketika Joe mengetahui asal-usulnya yang sebenar, beliau  berhadapan dengan cabaran untuk menerima identiti barunya iaitu beliau berketurunan India telah memberi satu kejutan pada diri. 

Filem pendek tersebut boleh ditonton di pautan https://youtu.be/OdfDxFfKiDc?si=2Dds3KNArqDbd6cw

Show More

Related Articles

Back to top button